Para saintis mendapati setiap perokok yang merokok selama 20 hari, akan mengalami sekitar 150 perubahan sel-sel paru-paru setiap tahun, berdasarkan penjujukan beribu-ribu genom tumor.

Menurut kumpulan tersebut, perubahan itu adalah kekal dan akan berterusan walaupun pero­kok berhenti merokok, oleh itu analisis tumor DNA boleh membantu memberi jawapan terhadap punca penyakit barah yang lain.

Portal BBC melaporkan, kajian tersebut yang disiarkan dalam jurnal sains dilakukan oleh para saintis antarabangsa termasuk dari Institut Wellcome Trust Sanger di Cambridgeshire dan Makmal Kebangsaan Los Alamos, New Mexi­co.

Analisis berkenaan menunjukkan hubungan terus antara jumlah rokok yang dihisap sepanjang hidup perokok dan jumlah perubahan dalam tumor DNA.

Mereka juga mendapati secara purata, menghisap sekotak rokok sehari boleh menyebabkan 150 perubahan sel paru-paru setiap tahun, 97 perubahan dalam kotak suara, mulut (23), pundi kencing (18) dan enam perubahan pada hati perokok.

Profesor Sir Mike Stratton dari Institut Wellcome Trust Sanger berkata, lebih banyak perubahan wujud maka lebih tinggi peluang perubahan berlaku terhadap gen-gen penting yang dikenali sebagai gen-gen kanser, yang akan menukar sel biasa kepada sel kanser.

Para saintis juga berkata, dalam tisu-tisu tubuh perokok contoh­nya dalam paru-paru yang memang terdedah secara terus kepada asap rokok, mereka mene­mukan kesan perubahan kimia asap tembakau yang mengan­dungi sekurang-kurangnya 60 karsinogen iaitu bahan yang mampu menyebabkan kanser dalam tisu hidup.

Walau bagaimanapun mereka tidak menemukan pola yang sama dalam tisu pundi kencing yang tidak terdedah secara terus kepada asap rokok.

Stratton berkata, kajian juga mendapati organ-organ dalam tubuh perokok memperlihatkan proses perubahan biasa yang pantas tetapi bagaimana perkara tersebut terjadi masih menjadi ‘misteri dan rumit’.

Ujarnya, pendekatan siasatan yang sama boleh digunakan terhadap penyakit kanser yang puncanya masih belum difahami sepenuhnya.

“Dengan melihat genom kanser kita akan mendapati wujud kesan arkeologi terhadap pendedahan masa lampau yang bertanggungjawab melahirkan kanser maka potensi pencegahan boleh dilakukan,’’ katanya.

Konsultan Onkologi di Hospital Papworth dan Pemegang Amanah Yayasan Paru-Paru Roy Castle, Dr. David Gilligan berkata, setiap 150 perubahan dalam sel setiap tahun memberi 150 peluang pembentukan kanser paru-paru.