Lima buah wilayah di Indonesia mengumumkan perintah da­­­rurat berikutan berlakunya ke­­bakaran hutan ketika Agensi Pencegahan Bencana Kebangsaan (BNPB) mendakwa jumlah hot spot atau kawasan yang sering atau boleh menyebabkan berlakunya kebakaran meningkat secara mendadak di kebanyakan tempat sejak minggu lalu.

BNPB ketika ini bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain termasuk tentera bagi mengawal kebakaran itu.

Menurut media Indonesia, pihak berkuasa di wilayah Sumatera Selatan yang berjiran dengan Jambi turut mengeluarkan arahan serupa.

“Langkah ini bertujuan memberi tekanan kepada rakyat yang sebelum ini diberikan amaran berulang-ulang kali.

“Kenyataan ini juga bagi me­nunjukkan ketegasan dan ke­sungguhan kami,” kata komander pasukan petugas khas kebakaran hutan Jambi, Kolonel Refrizal.

Refrizal menambah, arahan itu akan dilaksanakan secara bertanggungjawab.

Dalam pada itu, jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata, pasukan petugas khas kebakaran di Jambi sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran di kawasan seluas 10 hektar.

Katanya, pihak berkuasa mendapati, sebuah daripada kawasan itu dipercayai dibakar dengan sengaja oleh pemiliknya,

Jumlah hot spot meningkat kepada 239 pada 30 Julai daripada 173 titik panas tiga hari sebelum­nya.

Kebanyakan hot spot dikesan di wilayah Kalimantan, Pulau Sumatera dan Jawa.

BNPB sebelum ini memberi amaran bahawa ancaman terhadap kebakaran hutan akan me­ningkat dengan musim kering dijangka mencapai kemuncak pada bulan September. – REUTERS