Pengunjung Hotel Henn na pasti teruja menerima ucapan selamat daripada sepasang dinosaur gergasi yang kelihatan seperti karakter filem Jurassic Park dengan topi kecil di kepala ketika membuat pendaftaran masuk dan keluar.

Robot dinosaur itu mengendalikan proses pendaftaran masuk pengunjung melalui sistem tablet yang membolehkan pelanggan memilih pelbagai bahasa terma­suk Jepun, Inggeris, Cina atau Korea untuk berkomunikasi dengan robot berkenaan.

“Dinosaur itu kelihatan menarik dan anak saya sangat menyukainya. Anak saya juga sangat gembira bermain dengan robot berbentuk telur di dalam bilik,” kata seorang pengunjung, Chigusa Hosoi.

Setiap bilik di hotel berkenaan dilengkapi dengan robot mini yang kelihatan seperti dalam filem Star Wars, droid BB-8 yang bertugas membantu tetamu menukar saluran televisyen atau mendengar muzik.

Malah ikan yang berenang di dalam akuarium di lobi juga bergerak menggunakan bateri dengan lampu elektrik di bahagian badan yang sentiasa berkelip ketika berenang.

Cawangan pertama hotel ber­kenaan dibuka di Nagasaki pada 2015 dan telah disahkan pada tahun berikutnya oleh Guinness World Records sebagai hotel pertama di dunia dikendalikan oleh robot.

Hotel berkenaan mempunyai lapan cawangan di seluruh Jepun, semuanya mempunyai robot dinosaur dan humanoid sebagai kakitangan bertugas.

Terdapat juga kakitangan biasa yang akan dipanggil untuk membantu jika berlaku gangguan, tetapi ba­nyak ulasan pelanggan dalam talian menjelaskan mereka jarang berdepan masalah dengan robot-robot tersebut ketika mendaftar masuk.

Pengurus hotel berkenaan, Yukio Nagai berkata, pihaknya bergantung kepada robot dalam banyak hal daripada tugas di meja depan sehingga bahagian pembersihan dan telah membuktikannya sebagai pilihan tepat di negara dengan pasaran buruh yang terhad itu.

“Kami berdepan kesukaran untuk mendapatkan buruh yang mencukupi di hotel-hotel. Untuk menyelesaikan masalah itu, kami menggunakan robot untuk me­layani tetamu,” katanya. – AFP