Haiwan zaman Jurasik dikenali sebagai Sinosauropteryx dikenal pasti berupaya bertukar warna mengikut suasana, berdasarkan kajian terhadap fosilnya yang ditemukan di China hampir 12 tahun lalu.

Fosil ini ditemukan di wilayah Liaoning berhampiran sebuah tasik yang wujud kira-kira 120 juta tahun lalu.

Para penyelidik dari University of Bristol berusaha memetakan setiap pigmen bulu halus yang terdapat di hampir keseluruhan fosil haiwan tersebut.

Menurut Jakob Vinther yang mengetuai kajian tersebut, beberapa corak warna menarik berjaya dikesan termasuk jalur gelap di sekitar mata dan ekor berbe­lang yang sering wujud pada tubuh haiwan kecil abad ini.

“Dinosaur mungkin kelihatan pelik di mata kita, tetapi corak warna mereka sebenarnya sangat mirip dengan haiwan moden yang wujud di sekitar kita,” katanya.

Menurut Saintis, Fiann Smithwick, kajian yang diterbitkan dalam jurnal Current Biology itu sekali gus bakal memadam stereotaip tentang rupa sebenar makhluk purba tersebut.

“Kajian ini membuktikan ter­dapat spesies dinosaur yang mempunyai corak warna isti­me­wa berfungsi untuk bersembunyi atau mengelirukan pemangsa karnivor lain.

“Usaha ini turut memberi gambaran berbeza tentang rupa sebenar haiwan prasejarah yang sebelum ini sering diwarnakan kelabu atau hijau dalam buku kanak-kanak mahupun ensiklope­dia dinasour,” katanya. – AFP