Kebimbangan Pentagon terhadap barangan elektronik memun­cak ekoran dakwaan bahawa peralatan sedemikian digunakan untuk mengintip atau mengesan anggota tentera negara ini.

“Peralatan Huawei dan ZTE mungkin boleh mengundang ri­siko yang tidak terduga terhadap misi dan maklumat serta kakitangan tentera,” kata jurucakap Pentagon, Mejar Dave Eastburn.

Berikutan itu, kata beliau, tidak wajar kedai-kedai yang dikendali oleh pihak tentera menjual peralatan tersebut.

Eastburn tidak menjelaskan aspek teknikal yang dikatakan memberi ancaman tetapi The Wall Street Journal melaporkan, Pentagon bimbang kerajaan China mampu mengesan anggota tentera AS yang menggunakan peralatan Huawei dan ZTE.

Jurucakap Huawei, Charles Zinkowski berkata, produk keluaran syarikat itu memenuhi piawaian tertinggi keselamatan, privasi dan dihasilkan di setiap negara yang menjual produk tersebut termasuk di negara ini.

Sementara itu, ahli Parlimen Dewan Perwakilan AS mendedahkan perincian rang undang-undang polisi pertahanan tahunan bernilai AS$717 bilion (RM2.8 trilion) meliputi usaha untuk bersaing dengan keupayaan tentera Rusia dan China selain menggantung sementara penjualan senjata kepada Turki. – AFP/Reuters