Menariknya, bukan satu pasangan tetapi melibatkan beberapa pasangan pengantin lain menggunakan jentera bomba sama untuk dijadikan sebagai pelamin.

Mereka merupakan warga Kota Yogyakarta yang mengikuti program pernikahan bersama dengan bertemakan Nikah Bersama Pancasila Sakti.

Pernikahan pasangan terbabit yang mengenakan busana tradisional pelbagai adat itu disaksikan Wakil Ketua Kota Yogyakarta, Heroe Poerwadi.

Majlis tersebut turut menarik perhatian masyarakat di kawasan Malioboro apabila mereka mengambil kesempatan memberhentikan kenderaan lalu mengambil gambar pengantin terbabit.

“Majlis perkahwinan itu diatur sebagai menyambut Hari Kota Yogyakarta, Hari Kesaktian Pancasila dan Hari Forum Taaruf Indonesia Sewon (Fortais),” kata jurucakap program itu, Ryan Nuryanto.

Ryan berkata, persandingan diatas jentera bomba merupakan satu sejarah dan tidak pernah berlaku di Indonesia dan mungkin pertama kali di dunia.

“Sebelum mengadakan majlis itu, saya sudah membuat carian di Internet dan ternyata belum pernah dilakukan di mana-mana negara di dunia,” katanya.

Menurutnya, majlis tersebut turut mendapat kerjasama daripada pemerintah Kota Yogyakarta, Fortais dan masyarakat setempat.

Katanya, pasangan pengantin tersebut tidak dikenakan sebarang bayaran namun perlu memenuhi syarat pentadbiran untuk memastikan mereka bernikah secara rasmi. – KOMPAS.COM