Menurut laporan media tempatan, Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani sebelum itu berhubung dengan Putera Raja Arab Saudi, Mohammed Salman untuk mengadakan perbincangan, sekali gus menyaksikan pengli­batan kedua-dua pemimpin secara terbuka selepas Pre­siden Amerika Syarikat, Donald Trump menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan krisis yang berlaku.

Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan Mohammed mengalu-alukan ‘ajakan’Qatar dan memaklumkan semua maklumat perbincangan antara kedua-dua negara itu akan didedahkan selepas negara ini mencapai persetujuan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir.

Bagaimanapun, timbul ketegangan apabila SPA menuduh media Qatar melaporkan maklumat salah apabila menyatakan Arab Saudi yang berminat untuk mengadakan perbincangan dengan ne­gara tersebut.

“Qatar yang meminta supaya sesi dialog diadakan dengan Arab Saudi tetapi negara itu dilihat tidak serius untuk melakukan perbincangan.

“Arab Saudi dengan ini mengisytiharkan semua sesi dialog dengan Qatar akan ditangguh sehingga negara itu membuat ken­yataan terbuka mengenai keputusannya,” jelas SPA yang memetik Kementerian Luar negara ini.

Arab Saudi, Bahrain, UAE dan Mesir memboikot Qatar kerana mendakwa negara itu menyo­kong per­tubuhan pengganas dan individu serta me­ngekalkan hubungan ra­pat dengan Iran yang didakwa cuba menjejaskan kestabilan Asia Barat. – AFP