Penilaian oleh pegawai yang enggan namanya didedahkan itu menunjukkan peningkatan ancaman yang boleh diberikan oleh program peluru berpandu dan nuklear Pyongyang selain dapat meningkatkan tekanan ke atas Presiden Donald Trump untuk bertindak balas.

Korea Utara dalam kenyataannya pada Sabtu lalu mendakwa telah berjaya melancarkan satu lagi ujian ICBM yang membuktikan kemampuannya menyerang tanah besar AS.

Dua pegawai risikan AS berkata, pemerintah Korea Uta­ra, Kim Jong-un mahu membangunkan ICBM yang mampu membawa peledak nuklear bagi menghalang sebarang serangan ke atas negara itu selain mahu mendapat pengiktirafan antarabangsa supaya tidak melancarkan serangan terhadap Amerika Syarikat atau sekutunya.

Pentagon bagaimanapun enggan mengulas tentang penilaian berhubung ujian itu tetapi mengakui pelancaran terbaharu tersebut adalah yang paling jauh daripada mana-mana peluru berpandu yang dimiliki negara komunis itu.

“Butiran tentang penilaian kami adalah dirahsiakan atas sebab-sebab tertentu dan saya harap anda memahaminya,” kata jurucakap Pentagon, Kapten Jeff Davis dalam sidang media. Beliau, bagaimanapun mengakui peluru berpandu itu mampu terbang sekurang-kurangnya 5,500 kilometer, jarak minimum yang diklasifikasikan oleh Pentagon sebagai ICBM.

Dalam pada itu, dua pegawai AS yang membincangkan ujian terbaharu selama 45 minit itu berkata, pelancaran terbabit me­nunjukkan jarak yang lebih jauh berbanding ujian pada 4 Julai lalu yang bertahan selama 39 minit.

Menurut seorang pegawai, roket itu mencapai ketinggian, jarak dan kuasa yang lebih kuat berbanding ujian sebelum ini ke­rana ia menggunakan enjin yang lebih stabil dan mampu mena­ngani pelbagai faktor lain yang menjejaskan pelancaran tersebut.

Dalam perkembangan ber­kaitan, tentera AS dilapor me­ngesan aktiviti tahap luar bia­sa dan tidak pernah berlaku melibatkan aktiviti kapal selam Korea Utara dan bukti ujian pelancaran senjata dalam beberapa hari ekoran ujian kedua ICBM Pyongyang, bulan ini.

Menurut CNN, ujian pe­lancaran itu mengkaji sistem pelancaran peluru berpandu bergerak keluar daripada tempat pelancaran ke udara sebelum enjin roket dihidupkan tersebut.

Pengujian yang dilakukan di darat di Limbungan Tentera Laut Si­n­po, kelmarin adalah yang ketiga dilakukan pada bulan ini dan keempat tahun ini dalam usaha Pyongyang me­nguji komponen penting dalam memba­ngunkan kemampuan pe­­lancaran peluru itu menggunakan kapal selam.

Sementara itu, Amerika dilapor bersedia untuk menghan­tar baki komponen Sistem Terminal Pertahanan Kawasan Al­titud Tinggi (THAAD) ke Korea Selatan ketika ketegangan berhubung ujian peluru berpandu Pyongyang semakin mening­kat.

Sejurus ujian Pyongyang baru-baru ini, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in telah mengarahkan pemasangan sementara empat buah pelancar tambahan THAAD. – REUTERS/BERNAMA/AGENSI