Maklumat terbaharu itu didedahkan melalui jurnal perubatan terkenal, The Lancet Diabetes & Endocrinology baru-baru ini.

Menurut penyelidik yang ter libat dengan penghasilan jurnal itu, peratusan kes tersebut disifatkan sebagai yang ketiga pa­ling tinggi berbanding 12 jenis barah lain.

Laporan daripada jurnal itu juga menyebut, diabetes dan berat berlebihan yang menjadi penyebab kepada terjadinya barah itu lebih banyak menyerang wanita berbanding lelaki.

Ketua penyelidik yang juga felo penyelidikan klinikal di Fakulti Perubatan Kolej Imperial London, Jonathan Pearson-Stuttard berkata, perkaitan antara diabetes dengan barah bagaimanapun hanya ditemukan baru-baru ini.

“Berdasarkan kajian yang kami lakukan, diabetes sama ada tanpa atau dengan berat badan berlebihan boleh menjadi pencetus kepada beratus-ratus atau beribu-ribu kes barah di seluruh dunia setiap tahun,” katanya.

Oleh yang demikian Pearson-Stuttard memberitahu, pesakit yang menderita akibat diabetes atau berat badan berlebihan perlu berjaga-jaga kerana mereka berisiko untuk diserang barah.

“Jika dahulu merokok merupakan faktor utama terjadinya barah, namun pakar penjagaan kesihatan profesional mendedahkan kedua-duanya (diabetes dan berat badan berlebihan) juga mempunyai risiko yang hampir sama,” jelasnya.

Menurut laporan daripada jurnal itu, golongan lelaki yang memiliki berat badan berlebihan serta menghidap diabetes be­risiko lebih daripada 40 peratus untuk diserang barah hati.