Demikian dakwaan beberapa pelarian Rohingya yang merujuk kepada tindakan tentera tersebut melepaskan tembakan secara membabi buta ke arah penduduk semasa pertama kali sampai ke kampung mereka.

Selepas itu pasukan keselamatan datang sekali lagi bersama pelampau Buddha merampas harta benda dan membakar rumah penduduk kampung.

Pendedahan itu dibuat oleh 20 orang etnik Rohingya Islam dan Hindu yang mengimbau semula bagaimana mereka dipaksa ke­luar dari Kampung Kha Maung Seik di Rakhine pada 25 Ogos lalu ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan ang­ka etnik Rohingya yang me­larikan diri ke Bangladesh bakal mencecah 300,000 orang.

“Tentera datang bersama beberapa orang pelampau Buddha daripada etnik Rakhine sebelum membakar kampung kami.

“Semua penduduk Rohingya Islam di kampung kami yang berjumlah 10,000 orang melarikan diri dengan beberapa orang daripadanya terbunuh akibat terkena tembakan. Selebihnya datang ke sini (Bangladesh) tanpa mening­galkan seorang pun,” kata seorang pelarian, Kadil Hussein, 55.

Malah menurut pelarian yang ditemui, pasukan keselamatan Myanmar dan pelampau Buddha sengaja memaksa penduduk Rohingya meninggalkan kampung mereka.

Seorang pelarian, Body Alom, 28, berkata, dia bersembunyi di hutan bersama ribuan penduduk yang lain semasa tentera datang ke kampungnya dan terpaksa me­nunggu selama beberapa jam untuk masuk semula bagi melihat kesan kemusnahan yang dilakukan oleh tentera,

Kata Body, dia melihat banyak mayat bergelimpangan di sawah padi dan tambah menyedihkan dia menemukan mayat ibu dan adiknya dengan kesan tembakan.

“Keadaan sudah tidak lagi se­lamat, jadi saya terpaksa me­ninggalkan mereka. Malah saya tidak berpeluang langsung untuk mengebumikan mereka,” kata­nya.

Bagaimanapun, satu sumber tentera Myanmar menafikan pe­lam­pau Buddha bekerjasama de­ngan pihak berkuasa sebaliknya menuduh etnik Rohingya Islam menyerang komuniti lain di Rakhine.

Dalam pada itu, sebanyak lima mayat Rohingya mangsa bunuh tentera Myanmar dikebumikan dalam satu upacara pengebumian besar-besaran di Bangladesh selepas jenazah berkenaan dibawa memasuki negara ini oleh saudara masing-masing.

Portal Arakan Times Media melaporkan, tentera dan polis pe­ngawal sempadan Myanmar terus menyerang kampung dan membakar kampung etnik Rohingya di utara dan selatan Maungdaw sejak 25 Ogos lalu.

Setakat ini, lebih 200,000 etnik Rohingya hidup sebatang kara ekoran keganasan dan kehila­ngan tempat tinggal akibat rumah mereka dibakar secara sengaja oleh pihak berkuasa.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, jurucakap Program Makanan Sedunia (WFP) di Bangladesh, Dipayan Bhattacharyya berkata, angka pelarian yang memasuki Bangladesh akan mencapai jumlah 300,000 orang akibat konflik tersebut.

“Mereka datang dalam ke­a­da­an kekurangan makanan selepas terputus bekalan makanan mungkin lebih sebulan dan mereka amat kelaparan,” katanya.

Dalam pada itu, portal Independent melaporkan, sebuah bot nelayan yang membawa berpuluh-puluh pelarian Ro­hingya keluar dari Myanmar ka­ram di Teluk Bengal, semalam.

Jurucakap polis Bangladesh, Yakub Ali berkata, penduduk Pulau Shah Porir menemukan lima mayat di perairan pulau itu pagi semalam beberapa jam selepas kapal berkenaan karam.

Tambahnya, beliau percaya bot itu membawa sebanyak 35 orang pelarian sebelum terbalik namun tidak dapat mengesahkan berapa jumlah penumpang kapal yang hilang mahupun terselamat.