Gesaan itu dibuat menerusi Naib Presidennya, Mike Pence yang bercakap mewakili Trump semasa perjumpaan dengan anggota Majlis Keselamatan PBB, kelmarin.

“Presiden Trump dan saya mahu tindakan tegas dan segera diambil bagi menghentikan krisis ini sekali gus memberikan harapan dan bantuan kepada penduduk Rohingya ketika mereka memerlukannya,” katanya seper­ti dilaporkan Al-Jazeera.

Di Paris pula, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam satu temu bual bersama stesen televisyen TMC menyifatkan serangan ke atas etnik minoriti Rohingya sebagai ‘penghapusan etnik’.

“Kita perlu mengutuk penghapusan etnik yang sedang berlaku (di Myanmar) dan meminta supaya keganasan ini ditamatkan selain mahu akses kemanusiaan dipertingkatkan secara progresif di bawah seliaan PBB.

“Apabila PBB sendiri mengeluarkan kecaman (berhubung isu Rohingya), maka ada akibatnya yang boleh menjurus kepada satu rangka kerja untuk campur ta­ngan di bawah pertubuhan ber­kenaan,” jelasnya.

Terdahulu, Naib Presiden Myan­mar, Henry Van Thio dilihat cuba ‘melindungi’ tindakan kerajaannya apabila mendakwa pihaknya memahami isu ‘penghijrahan’ penduduk Rohingya ke Bangladesh.

Bercakap ketika menghadiri Perhimpunan Agung PBB kelmarin, Van Thio memberitahu, Myanmar kini sedang menyiasat ‘masalah berkaitan magnitud yang penting’.

“Saya gembira memaklumkan kepada anda bahawa situasi (di Myanmar) kini semakin ‘pulih’,” katanya seperti dipetik BBC.

Sementara itu, sekumpulan penunjuk perasaan Buddha dilaporkan cuba menghalang misi penghantaran bantuan kepada penduduk Rohingya di Rakhine apabila melemparkan bom petrol ke arah konvoi berkenaan.

Berikutan itu, kira-kira 200 anggota polis terpaksa dikerah ke lokasi kejadian dalam usaha menyuraikan tunjuk perasaan tersebut.

Dalam perkembangan berasi­ngan, sebuah trak penghantaran bantuan milik pasukan Palang Merah terlibat dengan nahas jalan raya di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Insiden itu menyebabkan sem­bilan terbunuh manakala sekurang-ku­rang­nya 10 lagi ce­dera dengan kebanyakan mangsa dipercayai pekerja yang ditugaskan untuk mengagihkan bantuan kepada penduduk Rohingya. –AGENSI/REUTERS/AFP