Tembakan meriam itu kedengaran di bandar yang terletak kira-kira 800 kilometer dari Filipina, selepas pihak tentera mengepung selatan bandar berkenaan sejak lima hari lalu.

Komander tentera Leftenan Jeneral, Carlito Galvez memohon maaf kepada penduduk Islam kerana mencetuskan kekacauan pada hari pertama mereka berpuasa.

“Kami sedang berusaha secepat mungkin membersihkan kawasan ini malah kami menggunakan keupayaan maksimum untuk memaksa anggota kumpulan mi­litan ini berundur agar kami dapat melindungi kepentingan kami di sini,’’ ujar beliau.

Naib Gabenor wilayah Lanao Del Sur, Mamintal Adiong Jr. memaklumkan, kira-kira 90 peratus daripada 200,000 penduduk Marawi telah melarikan diri akibat pertempuran itu.

“Keadaan ini menyedihkan kami kerana sepatutnya kami menyambut Ramadan dengan gembira tetapi kini semangat itu tiada lagi. Kami tidak tahu apa perjuangan kumpulan ini,’’ ujar beliau.

Semalam, Presiden Duterte me­rayu agar anggota kumpulan militan Maute itu melucutkan senjata dan memulakan dialog bagi meng­akhiri pertempuran berdarah di bandar tersebut yang disifatkan memberi tamparan hebat terhadap keselamatan rantau ini.

“Mesej saya terutamanya kepada pengganas berkenaan, kita boleh menyelesaikan melalui dia­log tetapi sekiranya mereka gagal untuk diyakini supaya menghentikan pertempuran, kita akan lawan,” kata beliau yang turut mengisytihar pengenaan undang-undang tentera di kepulauan Mindanao.

Duterte juga menegaskan, beliau akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua tindakan yang dilakukan anggota tentera dalam serangan di bandar Marawi, selatan Mindanao termasuk jika anggota tenteranya terbabit merogol tiga wanita.

Walaupun kenyataan itu dibuat secara berjenaka tetapi beliau menegaskan hanya Presiden sahaja bertanggungjawab terhadap sebarang kecaman berhubung peme­rintahan tentera di bandar ber­kenaan selain tidak akan bertolak ansur terhadap penderaan.

“Jika kamu jatuh, saya juga akan jatuh. Pelaksanaan dan akibat pemerintahan tentera ini hanya saya seorang diri yang akan bertanggungjawab, kamu hanya perlu menjalankan tugas, lain-lain biar saya uruskan.’’

“Jika kamu merogol tiga wanita, saya yang akan mengaku me­lakukan perbuatan itu,’’ katanya semasa menyampaikan ucapan kepada anggota tentera di Min­danao.

Dalam pada itu, Brig. Jen. Restitudo Padilla memaklumkan pihaknya akan menapis laporan akhbar dan media sosial tentang kejadian di Marawi bagi melin­dungi keselamatan negara. – Agensi