Portal Sputnik melaporkan, penduduk asal Jammu mendakwa kebanjiran etnik itu sejak 2009 hanya menjadikan mereka sebagai kumpulan minoriti di tanah air sendiri.

Malah, kebanyakan penganut Hindu di daerah berkenaan melihat kehadiran etnik tersebut sebagai satu muslihat oleh kerajaan negeri untuk mewujudkan ketidakstabilan di Jammu.

Ketua Penaung Parti Panthers Nasional Jammu Kashmir, Bhim Singh berkata, penghijrahan besar-besaran etnik itu merupakan satu konspirasi besar dan kerajaan nege­ri bertanggungjawab dalam isu itu.

“Lebih 23,000 penduduk Ro­hingya daripada 10,000 buah keluarga kini tinggal di Jammu dan semua penduduk asal bimbang akan perkembangan ini.

“Satu perwakilan dari negeri ini telah menemui Menteri Dalam Negeri, Rajnath Singh dan menzahirkan kebimbangan tentang Rohingya namun mereka tidak mendapat jawapan yang me­yakinkan,” katanya.

Menurut laporan Sputnik, agensi keselamatan India turut melihat kehadiran pelarian Rohingya di Jammu sebagai ancaman memandangkan daerah itu terletak berhampiran sempadan Pakistan.

Parti kerajaan, Parti Bharatiya Janata (BJP) pada masa sama turut mempersoalkan kerajaan negeri yang didakwa tidak ambil peduli apabila membenarkan etnik ber­kenaan tinggal di bandar itu.

BJP yang dipetik Arakan News Agency turut mendesak kerajaan supaya mengambil langkah segera bagi menghentikan pe­nempatan haram etnik ber­kenaan di beberapa kawasan di bandar Jammu yang sudah padat dengan penduduk.

Mereka turut mendesak kerajaan negeri supaya menjelaskan isu kebanjiran pelarian Rohingya semasa pembentangan sesi bajet di Dewan Undangan Negeri Jammu pada bulan depan.

Bagaimanapun, Ketua Polis Jammu, Danish Rana menjelaskan, penduduk Islam Rohingya tidak perlu bimbang kerana mereka telah diberikan permit oleh kerajaan negeri dan mereka bukan tinggal secara haram.

“Sebanyak 6,000 pelarian Ro­hingya berdaftar tinggal secara sah di Jammu kerana mereka mempunyai permit yang diberikan oleh kerajaan India,” katanya.

Dalam perkembangan ber­­a­singan, Indonesia hari ini menghantar sebanyak 10 buah kontena yang sarat dengan bantuan kemanusiaan ke Rakhine, Myanmar yang menempatkan penduduk Rohingya.

Menurut kenyataan Setiausaha Kabinet Indonesia, bantuan itu melibatkan makanan segera, makanan bayi serta pakai­an dan dihantar selepas Menteri Luar, Retno Marsudi mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa di Myanmar. – AGENSI/DPA