Di Ramallah, penunjuk pe­rasaan berarak dari pusat bandar ke Konsulat Britain sambil me­ngibarkan bendera hitam dan sepanduk yang tertera slogan ‘100 tahun rampasan kuasa dan kekejaman’.

Menurut portal berita Al-Jazeera, bantahan serupa diadakan di Baitulmaqdis dan Tebing Barat yang turut dihadiri kanak-kanak dan golongan wanita.

Referendum yang ditandata­ngani lebih 100,000 murid sekolah di seluruh Palestin serta beratus-ratus surat daripada pelajar sekolah tinggi Palestin turut di­sampaikan kepada Konsulat Bri­tain di Baitulmaqdis Timur.

“Surat-surat ini memperlihatkan ekspresi dan pandangan pelajar serta murid-murid tentang akibat buruk deklarasi tersebut dan perasaan mereka selepas tanah dan masa depan mereka dirampas rejim Zionis,” jelas Pegawai Kementerian Pendidikan Palestin, Sawsan Safadi.

Di Afrika Selatan, beratus-ratus orang berkumpul di luar Kedutaan Israel di Pretoria untuk membantah pendudukan Israel di Palestin.

Para penunjuk perasaan memakai kemeja merah sambil memegang sepanduk yang menyeru penghapusan dasar apartheid dan penghapusan etnik oleh Israel serta menggesa serangan terhadap Semenanjung Gaza dihentikan.

Yayasan bantuan kemanusiaan dan penuntut universiti dilaporkan mengetuai tunjuk perasaan yang diadakan di barat laut Turki sementara ratusan ahli Persatuan Belia Anatolia mengadakan bantahan sama di Ankara.

Pejabat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam satu kenyataan turut menggesa permohonan maaf daripada Britain selain menuntut pengiktirafan Palestin dan pampasan bagi rak­yatnya dari segi politik, moral dan material sempena memperingati seabad deklarasi tersebut.

Deklarasi yang dikeluarkan pada November 1917 merupakan kenyataan rasmi dasar kerajaan Britain menyokong penubuhan negara Yahudi di Palestin yang menyaksikan peningkatan bila­ngan perpindahan penduduk Yahudi dan institusi Zionis berakar umbi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang berada di London membuat satu kenyataan ‘berniat jahat’ apabila meminta penduduk Pa­lestin menerima kewujudan negara haram Yahudi.

“Apabila perkara itu berlaku, laluan untuk proses damai akan tercapai,” katanya.