Lapor Channel News Asia, David Allen Turpin, 57 dan isterinya, Louise Anna Turpin, mengaku bersalah terhadap 14 pertuduhan jenayah termasuk bertindak kejam, mengurung, melakukan penderaan kanak-kanak dan menyeksa anak mereka berusia antara tiga hingga 30 tahun.

David dan Louise akan menjalani hukuman penjara sekurang-kurangnya 25 tahun sebelum dibenarkan untuk memohon parol.

“Saya tidak pernah berniat untuk mencederakan anak-anak saya. Saya meminta maaf sekiranya saya me­lakukan sesuatu yang buruk ter­hadap mereka,” kata David Allen kepada mahkamah dekat bandar Riverside menerusi kenyataan dibacakan oleh peguamnya.

Ketika perbicaraan, dua anak pasangan berkenaan dalam satu suasana yang menyayat hati, mengakui masih sayangkan ibu bapa mereka dan telah memaafkan David Allen serta Louise Anna.

“Ibu bapa saya merampas seluruh kehidupan saya, tetapi kini saya mahu mengambil se­mula kehidupan saya,” kata anak perempuan kepada pasa­ngan tersebut.

Kes tersebut yang dikenali sebagai ‘House of Horror’ menjadi perhatian ramai selepas seorang daripada anak pasa­ngan itu berjaya melepaskan diri menerusi tingkap dan menghubungi pihak berkuasa tempatan.

Penyiasat kes berkenaan bagaimanapun tidak mengetahui punca sebenar pasangan itu melakukan perbuatan sedemikian.

Hakim Bernard Schwartz memberitahu pasangan tersebut bahawa, kehidupan anak-anak mereka telah berubah sepenuhnya daripada perbuatan ‘mementingkan diri, kejam dan tidak berperikemanusiaan’ mereka. – AGENSI