Cadangan yang dibuat oleh Jabatan Negara AS itu, akan memerlukan pemohon visa memberikan butiran tentang akaun Facebook dan Twitter.

Kesemua pemohon perlu mendedahkan semua identiti yang mereka gunakan dalam media sosial bagi tempoh lima tahun yang lalu.

Kira-kira 14.7 juta orang akan terlibat dengan cadangan berkenaan.

Maklumat yang diperoleh akan digunakan bagi mengenal pasti dan memeriksa pemohon visa imigran mahu pun sebaliknya.

Pemohon juga diminta memberikan maklumat seperti nombor te­lefon, alamat e-mel dan maklumat perjalanan dalam tempoh lima tahun lalu.

Mereka juga akan diminta memberi maklumat sama ada pernah dihantar pulang daripada mana-mana negara atau mempunyai pertalian dengan mana-mana individu terlibat dalam kegiatan pengganas.

Cadangan itu tidak akan menjejaskan rakyat dari negara yang diberikan status perjalanan visa bebas antaranya United Kingdom (UK), Kanada, Pe­rancis dan Jerman.

Bagaimanapun, warganegara dari negara-negara tidak diberikan pengecualian se­perti India, China dan Mexico tidak terlibat jika mereka melawat AS untuk bekerja atau bercuti.

Cadangan ini dibuat selepas Trump berjanji melaksanakan ‘pemeriksaan yang amat ketat’ kepada warga asing yang ingin memasuki negara ini dalam usaha disifatkan sebagai bertujuan me­merangi pengganas.

Jabatan Negara AS dalam kenyataan yang dipetik the New York Times berkata: “Kami telah meminta (sebelum ini) maklumat yang terhad, sejarah perjalanan dan ahli keluar­ga dan alamat sebe­lumnya daripada semua pemohon visa. Pengumpulan maklumat tambahan akan menguatkan proses semakan dan mengesahkan identiti.

Orang awam diberi tempoh dua bulan untuk memberi maklum balas terhadap cadangan yang tertakluk kepada kelulusan Pejabat Pe­ngurusan dan Belanjawan, sebelum keputusan dibuat.

Sementara itu, Wakil Ke­satuan Kebebasan Awam AS, Hina Shamsi mengutuk dasar itu yang disifatkan sebagai pelanggaran hak privasi seseorang yang menjejaskan kebebasan bersuara.

“Kami juga bimbang ba­gaimana pentadbiran Trump mentakrifkan ‘ke­giatan peng­­­­ganas’ kerana ia boleh digunakan untuk mendiskriminasi imigran yang tidak melakukan ke­salahan,” katanya.