Menurut polis, Maria­no Blanco (gambar)yang merupakan Datuk Bandar Ronda merupakan pegawai kerajaan terbaharu dibunuh dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Blanco, 59, ditembak mati oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali selepas tengah malam di pejabatnya.

Inspektor Kanan Jayr Palcon memberitahu, berdasarkan maklumat beberapa saksi, empat lelaki bersenjata dilihat keluar dari sebuah van putih dan memasuki dewan perbandaran.

Blanco ketika itu dipercayai sedang tidur dalam pejabatnya, Namun, tidak dapat dipastikan mengapa beliau ingin bermalam di pejabatnya sewaktu kejadian berlaku.

“Blanco disahkan meninggal dunia di hospital dan motif pembunuhan masih dalam siasatan,” katanya.

Penglibatan Blanco dalam jenayah dadah di negara ini disahkan oleh jurucakap Agensi Pe­nguatkuasaan Dadah Filipina.

Menurut agensi tersebut, pembunuhan beliau berlaku hampir setahun selepas Suruhanjaya Polis Kebangsaan menggugurkan kuasanya dalam mengawal polis tempatan ekoran disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah.

Pada Julai lalu, Datuk Bandar Antonio Halili terbunuh selepas ditembak mati penembak tepat ketika menghadiri satu majlis di Dewan Perbandaran Tanauan di selatan Manila.

Blanco dan Halili merupakan sekurang-kurangnya enam Datuk Bandar serta Timbalan Datuk Bandar yang dibunuh di Filipina sejak Mei lalu. – AFP