Malah, rakaman video kanak-kanak yang duduk dalam kuru­ngan dan suara anak-anak yang meratap terpaksa berpisah de­ngan ibu bapa mereka membangkitkan kemarahan seluruh dunia.

Baru-baru ini, beberapa negara seperti Kanada dan United Kingdom menyifatkan tindakan tersebut adalah ‘salah’. Malah pemimpin Vatican City, Pope Francis turut menyatakan tindakan itu suatu perbuatan tidak bermoral.

Susulan kecaman itu, Pre­siden AS, Donald Trump menandatangani perintah eksekutif bagi memastikan kanak-kanak pendatang asing tidak dipisahkan daripada ibu bapa mereka tetapi akan tinggal dalam pusat tahanan bersama.

Namun, perintah eksekutif itu menyatakan keluarga pendatang akan ditahan bersama sehinggalah kes terhadap mereka dipertimbangkan.

Selain itu, beberapa agensi termasuk Pentagon akan membina kemudahan atau menjadikan premis sedia ada sebagai tempat penempatan sementara untuk keluarga pendatang asing.

Sekurang-kurangnya 2,300 kanak-kanak dipisahkan daripada ibu bapa mereka sejak 5 Mei lalu selepas memasuki AS tanpa dokumen yang sah di sempadan AS-Mexico.

Kanak-kanak berkenaan akan dihantar ke pusat tahanan di bawah peraturan ‘toleransi sifar’ yang diperkenalkan pada April lalu.

Selepas perintah eksekutif dikeluarkan, Trump mengarahkan Pentagon untuk membekalkan 20,000 katil di beberapa pangkalan tentera lama yang akan menempatkan kesemua kanak-kanak terbabit.

Rancangan untuk menempatkan kanak-kanak pendatang asing di pangkalan tentera dikemukakan pada bulan lalu susulan e-mel yang ‘terbocor’ di media tempatan.

Dalam pada itu, seorang pendatang asing dari Guatemala, Beata Mejia Mejia menyaman kerajaan AS kerana melanggar hak asasi manusia selepas anak lelakinya, Darwin ‘dirampas’ sejurus selepas dia menyeberangi sempadan AS.

Selepas hampir dua minggu berada dalam tahanan di Arizona, dia pernah meminta untuk berjumpa dengan anaknya dan diberikan nombor telefon untuk dihubungi.

“Saya menelefon nombor tersebut tetapi mereka tidak mahu jawab. Saya tidak lagi mendengar khabar dari anak lelaki saya,” katanya.

Tambah wanita itu, dia akhir­nya dibenarkan bercakap de­ngan anaknya selepas dibebaskan dengan ikat jamin pada 15 Jun lalu.

“Saya menyedari dia kelihatan sedih. Seperti semua ibu, saya kenal anak saya dan merasakan dia tidak berapa sihat,” jelasnya.

Kongres AS yang diketuai oleh Republikan baru-baru ini dilaporkan mahu menjalankan undian bagi meluluskan rang undang-undang baharu berhubung isu berkenaan tetapi tiada keputusan masih dibuat setakat ini.