Di White House, penunjuk pera­saan memenuhi kawasan Lafayette Square dalam rasa marah dan sedih sebelum meneruskan perarakan ke bangunan Capitol.

Selain Washington, perhimpunan turut diadakan di Boston, Chicago, Los Angeles, New York dan Portland yang menarik penyertaan ramai termasuk selebriti seperti Alicia Keys dan Lin-Manuel Miranda di Washington manakala John Legend di Los Angeles.

“Kami tidak percaya pada sempadan dan tembok,” kata Sebastian Medina-Tayac dari Piscataway Indian Nation dalam bahasa Ing­geris dan Sepanyol pada permulaan perhimpunan yang bertemakan ‘Keluarga Patut Bersama’.

Pembesar suara menyiarkan tangisan kanak-kanak yang terpisah daripada anggota keluarga mereka ketika seorang wanita Brazil mendakwa dia dipisahkan daripada anaknya sendiri.

‘Malu! Malu!’ laung kumpulan penunjuk perasaan dalam kea­daan cuaca panas dengan suhu melebihi 33 darjah Celsius bagi merujuk kepada tindakan kejam Trump itu.

Namun, Presiden seakan ‘memekakkan telinga’ apabila beliau dilapor menghabiskan masanya di Trump National Golf Club di New Jersey.

Trump sebaliknya menggunakan akaun Twitter beliau mempertahankan dasar imigresen itu.

“Apabila orang masuk ke negara ini secara haram, kita mesti segera mengiringi mereka keluar tanpa perlu melalui proses perundangan yang memakan masa agak lama.

“Undang-undang kita adalah yang paling bodoh berbanding mana-mana negara di dunia. Parti Republikan mahu sempadan yang kuat dan tiada jenayah. Mereka yang lain mahu sempadan terbuka dan agak lemah tentang jenayah,” tegas Trump.

Bermula awal Mei, Trump mengarahkan penangkapan orang dewasa yang memasuki sempadan negara ini secara ha­ram termasuk mereka yang cuba mencari suaka politik.

Kebanyakan pendatang yang memasuki sempadan negara ini merupakan yang miskin, me­larikan diri daripada keganasan berkumpulan dan keganasan lain di Amerika Tengah.

Akibat tindakan tegas Trump, ramai kanak-kanak terpisah daripada keluarga mereka.

Tindakan kerajaan AS mengurung kanak-kanak terbabit mencetuskan kemarahan rakyat termasuk komuniti dunia.

Keadaan itu kemudian memaksa Trump menandatangani perintah untuk menamatkan dasar pemisahan keluarga, namun ramai peguam imigresen menjangkakan proses menyatukan kanak-kanak dengan ibu bapa mereka akan memakan masa panjang dan huru-hara.

Setakat ini, kira-kira 2,000 kanak-kanak masih terpisah dari­pada ibu bapa mereka, menurut angka rasmi yang dikeluarkan pada hujung minggu lalu. – AFP