Kritikalnya krisis berkenaan jelas sekali apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkannya sebagai darurat pelarian paling pantas berkembang di dunia dengan lebih 507,000 etnik minoriti itu menjadi pelarian di Bangladesh dalam tempoh kurang dua bulan.

Umum mengetahui pada awal minggu lalu, Myanmar telah mengemukakan ‘cada­ngan’ untuk membawa pulang lebih setengah juta pela­rian etnik Rohing­ya yang tiba di Bangladesh ketika mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Bangladesh, A.H Mahmood Ali

Bahkan, pemimpin tersebut menyatakan kedua-dua negara bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyela­raskan penghantaran pulang etnik Rohingya.

Namun begitu perbincangan yang dibuat tanpa melibatkan PBB itu dikhuatiri tidak akan menyelesaikan masalah seperti mana yang diharapkan kerana kedua-dua pihak pastinya lebih menjaga kepentingan masing-masing dalam menamatkan krisis yang ada.

Ini dapat dilihat apabila tiada tempoh masa diberikan bagi penghantaran pulang dan tidak pula dinyatakan dengan jelas sama ada ke­semua pelarian itu akan dibawa pulang.

Persoalannya apakah muslihat sebenarnya apabila Menteri Pejabat Kaunselor Myanmar, Kyaw Tint Swe mahu pelarian Rohingya ditentusahkan oleh kumpulan kerja bersama itu tanpa melibatkan campur tangan PBB.

Bangladesh pastinya tidak mahu terus dibebani lagi de­ngan masalah pelarian manakala Myan­mar pula akan bersikap memilih dalam menentukan siapa yang bakal dibawa pulang.

Bagaimanakah kedudukan pelarian Rohingya yang terpaksa melarikan diri sehelai sepinggang tanpa bukti identiti yang kukuh setelah semua dokumen terbakar bersama rumah mereka sebelum ini.

Sudah pastilah nasib malang mereka tidak akan terbela de­ngan jawatankuasa yang ‘kabur’ tanpa pemantauan badan antarabangsa itu.

Timbul juga persoalan di mana pelari­an Rohingya akan tinggal jika kembali ke Myanmar selepas kebanyakan kampung mereka dibakar dalam operasi ketenteraan yang dilakukan tentera-tentera negara itu.

Mahukah kerajaan Myanmar membenarkan mereka kembali ke kampung halaman atau me­nempatkan mereka di kem-kem pelarian ketika tiada pihak yang akan mengawasi kebajikan de­ngan cadangan telah dibuat untuk membangunkan kampung-kampung yang telah terbakar bagi tujuan komersial kerana kawasan itu dianggap bukan lagi dimiliki oleh tuan tanah yang asal.

Pastinya Bangladesh tidak lagi mampu berbuat apa-apa selepas menyerahkannya kepada kerajaan Myanmar.

Apa yang dibimbangi tanpa sebarang penyertaan PBB tidak akan wujud sebarang penyele­saian yang jitu sehingga membolehkan kepentingan pihak yang teraniaya ini dijaga atau dipertahankan dan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan baik tanpa disalahgunakan.

Bahkah tidak menghairankan jika mereka bakal menjadi seperti ‘terlepas dari mulut harimau, masuk ke mulut buaya’.

Pada masa ini, penduduk Rohingya sedia ada di Rakhine masih terus dihimpit dengan kekejaman tentera Myanmar, penculikan, gangguan dan kecurian haiwan-haiwan ternakan yang menjadi satu-satunya sumber pendapatan mereka.

Sekumpulan 20 diplomat yang melawat utara Rakhine dalam lawatan rasmi baru-baru ini menggambarkan kea­daan kemanusiaan di sana amat mengerikan dan menggesa kerajaan Aung San Suu Kyi untuk menghulurkan bantuan tanpa diskriminasi.

Kesengsaraan yang dialami oleh penduduk Islam Rohingya sejak sekian lama hanya dapat diatasi sekiranya Myanmar bersikap jujur dan bersedia menerima kembali berdasarkan kedudukan mereka sebagai antara penduduk asal Myanmar mengikut fakta sejarah.

Hakikatnya, kerajaan Myan­mar termasuk tentera perlu ‘mengiktiraf’ etnik Rohingya sebagai rakyat mereka.