Menurut beliau, perintah darurat itu perlu dilaksanakan bagi menghapuskan semua elemen pengganas yang terbabit dalam kejadian pada Sabtu lalu itu, yang menyaksikan lebih 300 orang terbunuh dan kira-kira 1,500 yang lain cedera.

Erdogan menegaskan bahawa perintah darurat itu tidak menggugat sistem demokrasi yang diamalkan di Turki.

“Turki masih mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan tidak akan mengabaikannya.

“Tetapi buat masa ini, perintah darurat diperlukan untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan negara,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Keselamatan Negara dan barisan Kabinet di Istana Presiden, semalam.

Kali terakhir Turki melaksanakan perintah darurat adalah pada 2002 di wilayah tenggara negara ini bagi memerangi militan Kurdis sejak 1987.

Berdasarkan Artikel 102 Perlembagaan Turki, perintah darurat dibenarkan apabila tahap ketenteraman awam merosot akibat tercetusnya keganasan.

Erdogan menuduh musuh politiknya, Fethullah Gulen mendalangi rampasan kuasa itu sehingga menyaksikan kira-kira 50,000 orang ditahan dan pemecatan penjawat awam, ahli akademik dan pasukan keselamatan.

Susulan operasi besar-besaran tersebut, Kementerian Pengajian turut mengarahkan kira-kira 626 institusi pengajian ditutup dalam usaha memburu dalang yang terlibat dalam gerakan untuk menggulingkan kerajaan.

Erdogan turut mengakui kelemahan yang berlaku dalam agensi perisikan selepas gagal menghidu cubaan rampasan kuasa di Ankara dan Istanbul.

Menurutnya, beberapa negara pernah mengalami situasi sama disebabkan kelemahan sumber perisikan mengesan gerakan pembelot lebih awal.

“Saya yakin negara yang pernah terlibat dalam cubaan rampasan kuasa hanya mengetahui punca sebenar selepas siasatan terperinci dijalankan,” katanya. – REUTERS/DPA