Sebelum ini Craig pernah memberitahu dia lebih rela mengelar tangannya daripada kembali memegang watak Bond.

Namun semasa menghadiri majlis Beyond Bond di Festival New Yorker, aktor itu sudah mula berubah hati dan berminat untuk terus membintangi filem berkenaan.

“Saya mempunyai pekerjaan yang terbaik di dunia dengan memegang watak Bond. Tiada kerja yang setanding de­ngan apa yang saya lakukan dalam filem ini.

“Jika saya berhenti me­lakukannya, saya akan sa­ngat merinduinya ke­rana sebagai pelakon, ini adalah satu perkara paling seronok yang boleh dilakukan,’’ kata aktor berusia 48 tahun itu.

Portal Daily Mirror bagai­manapun melaporkan, Craig menafikan menerima tawaran sebanyak AS$150 juta (RM623 juta) untuk menandatangani kontrak dua lagi filem ber­kenaan.

“Tiada perbincangan tentang perkara itu,’’ katanya.

Kenyataan Craig itu dibuat susulan kenyataan penerbit eksekutif, Callum McDougall dan penerbit bersama, Barbra Broccoli serta Michael G. Wilson yang me­nyatakan aktor berkenaan masih lagi menjadi pilihan pertama untuk membawa watak tersebut.

Sejak beberapa bulan lalu, khabar angin berhubung masa depan Craig sebagai Bond telah menjadi tanda tanya dengan beberapa aktor seperti Tom Hiddleston, Aidan Turner dan Idris Elba dikatakan akan menggantikannya.