Mayat militan warga Belgium itu dijumpai dengan kesan tembakan dan identitinya dikenal pasti melalui ujian cap jari.

Serbuan semalam turut mengorbankan seorang wanita, dipercayai sepupu Abdelhamid yang bertindak meletupkan dirinya, manakala lapan yang lain ditahan.

Identiti individu yang ditahan itu tidak didedahkan.

Pendakwa raya tidak dapat memastikan sama ada Abdelhamid, 27, turut meletupkan diri.

Perkembangan terbaharu itu menimbulkan persoalan serius tentang bagaimana seorang suspek pengganas yang berada dalam senarai orang dikehendaki, boleh lolos kawalan keselamatan di Paris dari Syria tanpa dikesan mana-mana pihak.

Nama Abdelhamid berada dalam senarai individu dikehendaki Perancis dan Belgium.

Dengan kematian suspek utama serangan, pihak keselamatan kini memburu seorang lagi suspek dikenali sebagai Salah Abdeslam, yang dipercayai melarikan diri ke Belgium sejurus serangan dilancarkan pada Jumaat lalu.

Satu laporan AFP menyatakan, Abdelhamid menyasarkan untuk merekrut wanita yang menetap di Sepanyol untuk menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS), kata Menteri Dalam Negeri Sepanyol, Jorge Fernandez Diaz.

“Abdelhamid menggunakan laman sosial untuk merekrut rakyat Sepanyol terutamanya wanita untuk menyertai IS.

“Mereka ini direkrut bukan untuk melakukan serangan di Sepanyol. Pihak kami masih tidak menerima maklumat tentang perkara itu,” katanya.

Kematian Abdelhamid menamatkan satu episod keganasan terburuk di Perancis dengan polis Perancis meneruskan operasi memburu suspek lain yang terbabit dalam serangan di Paris itu. – AFP/AGENSI