Presiden Mesir, Abdel Fatah al-Sisi mengisytiharkan tiga hari berkabung, selain berikrar untuk mencari semua pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan tersebut dan mengheret mereka ke muka pengadilan.

“Pasukan polis dan tentera akan memburu pihak yang bertanggungjawab dalam serangan tersebut dan akan mengembalikan semula keselamatan serta kestabilan di negara ini,” katanya ketika berucap semalam.

Serangan yang berlaku ketika penduduk tempatan menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Rawdah di El-Arish itu menyaksikan seramai 305 orang terbunuh termasuk 27 kanak-kanak dan 128 yang lain cedera.

Menurut kenyataan pejabat pendakwa raya, kira-kira 30 anggota militan Daesh mengepung masjid berkenaan sebelum mengebom serta menembak jemaah yang sedang menunaikan solat Jumaat.

“Kesemua penyerang yang digambarkan mempunyai rambut serta jambang tiba di masjid berkenaan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan mengepung kawasan sekitar,” jelas kenyataan tersebut.

Seorang mangsa yang ce­dera pula memaklumkan kumpulan penyerang memakai topeng muka dan berpakaian seragam tentera.

Beberapa saksi menceritakan mereka terdengar bunyi tembakan dan letupan sebelum kumpulan penyerang memasuki masjid berkenaan.

Sementara itu, penduduk tempatan menyifatkan masjid tersebut sebagai pusat dakwah utama dan yang terbesar di El-Arish sehingga mampu memuatkan kira-kira 600 hingga 700 orang dalam satu masa. – AFP