BBC melaporkan, laporan yang dihasilkan berdasarkan beratus-ratus wawancara itu disifatkan sebagai kritikan paling kuat daripada PBB berhubung penindasan terhadap etnik Rohingya.

Laporan itu menyebut taktik yang digunakan oleh tentera Myanmar untuk menindas etnik Rohingya disifatkan sebagai ‘konsisten dan tidak sepadan dengan ancaman sebenar’.

Laporan itu menyenaraikan enam nama pegawai tertinggi ketenteraan Myanmar termasuk Komander Ming Aung Hlaing dan timbalannya yang wajar dibicarakan di mahkamah.

Selain itu, laporan berke­naan turut mengkritik sikap pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang dilihat gagal menghentikan penindasan terhadap Rohingya dan meminta ke­se­mua kes melibat­kan kumpulan mi­noriti itu dirujuk ke Mahkamah Je­nayah Antarabangsa.

Kerajaan Myanmar sebelum ini menafikan dak­waan tersebut dan mene­gaskan bahawa tindakan ketenteraan diambil bagi memben­dung ancaman kumpulan militan.

Bagaimanapun, laporan itu men­­jelaskan bahawa ‘tindakan’ yang dilakukan oleh tentera Myan­mar terhadap etnik Rohingya adalah sesuatu yang mengejutkan.

“Keperluan ketenteraan tidak membenarkan pembunuhan dilakukan sesuka hati, merogol wanita secara berkumpulan, menyerang kanak-kanak dan membakar seluruh kawasan perkampungan,” jelas laporan tersebut.

Antara jenayah yang direkodkan di Kachin, Shan dan Rakhine termasuk pembunuhan, penjara, penyeksaan, rogol, hamba seks, penganiayaan dan penghambaan yang merupakan perbuatan jenayah paling berat berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Laporan itu juga mendapati terdapat elemen penghapusan yang membenarkan pembunuhan beramai-ramai dilakukan terhadap etnik Rohingya.

Misi PBB tidak mempunyai akses ke Myanmar namun laporan itu dihasilkan berdasarkan beberapa sumber termasuk wa­wancara saksi, imej satelit, gambar serta video.

Selain itu, laporan berkenaan juga menyebut bahawa beberapa kegiatan keganasan dilakukan oleh kumpulan etnik bersenjata di negeri Kachin dan Shan.

Sejak 25 Ogos tahun lalu, kira-kira 700,000 etnik Rohingya meninggalkan Rakhine dan memasuki Bangladesh.

Dianggarkan kira-kira 6,700 penduduk Rohingya termasuk 730 kanak-kanak terbunuh dalam bulan pertama selepas tentera Myanmar mengambil tindakan ke­ganasan terhadap kumpulan mi­noriti tersebut.