JAKARTA 8 Jan. - PIHAK berkuasa Indonesia menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar bogel model Vanessa Angel yang didakwa terlibat dalam kegiatan pelacuran dalam talian sekiranya tidak mahu dihukum.

Detik News melaporkan, Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Jaya, Komisioner Argo Yuwono berkata, masyarakat perlu bijak dan berhati-hati menggunakan gajet termasuk telefon pintar supaya tidak mudah terpengaruh atau menyebarkan maklumat yang tidak wajar.
Katanya, mana-mana pihak yang didapati sengaja menyebarkan gambar bogel Vanessa boleh didakwa.
“Kita perlu menghormati norma-norma kehidupan dan jangan jadikan sesuatu hal itu menyebabkan kita dihukum undang-undang,” katanya.
Gambar bogel model tersebut mula tersebar melalui aplikasi WhatsApp selepas dia ditahan polis dan Vanessa turut mengakui dia adalah wanita dalam gambar berkenaan.
Perkara itu disahkan oleh pengurus Vanessa iaitu Muhammad Zakir Rasyid.
Jelas Muhammad Zakir, dia sendiri bertanyakan hal tersebut kepada Vanessa dan model tersebut mengaku bahawa gambar itu adalah dia.
Selain itu, Muhammad Zakir turut bertanya siapa individu yang ada bersamanya dalam gambar tersebut.
“Vanessa memberitahu bahawa gambar itu diambil ketika dia dan individu tersebut sedang mandi di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan tidak menyedari gambarnya dirakam,” jelasnya. – AGENSI