Daripada sugul bimbang tidak sempat mendapat agihan daging korban, gadis berusia 10 tahun itu tersenyum riang sejurus menerima daging seberat dua kilogram hasil program korban anjuran EZ Qurban semalam.

“Hadiah ini untuk ibu. Dia mesti gembira,” ujarnya kepada wartawan Utusan Online.

Elimo anak gadis tempatan perkampungan Nyuki yang mampu bertutur dengan baik.

Ketika ditanya mengapa menunjukkan reaksi wajah sedih bercampur gembira Elimo menyatakan dia memikul tangungjawab sebahagian keluarga selepas kematian bapanya tiga tahun lalu.

“Dulu bapa (Moswen) seorang guru agama di sebuah pondok pengajian dewasa. Selepas dia diserang sakit jantung dan meninggal dunia semasa umur saya tujuh tahun, saya dan abang banyak membantu ibu dalam menguruskan kerja-kerja harian di rumah.

“Kami hanya dua beradik. Abang bekerja sebagai buruh kasar di kuari terbuka,” ujarnya.

Selain memiliki kemahiran menguasai bahasa Inggeris secara sederhana, Elimo juga pandai mengaji dan memiliki kebolehan menghafaz ayat-ayat al-Quran disebabkan selalu mengikuti pembelajaran di kelas pondok dewasa yang diajar oleh ayahnya.

Ibunya yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah klinik desa milik seorang doktor hanya mempunyai gaji yang agak kecil dan tidak mampu untuk menghantarnya ke sekolah.

“Di sini (Kanduchi) mempunyai sebuah sekolah swasta di mana keluarga berada sahaja mampu untuk membiayai yuran persekolahan.

“Jika saya juga mempunyai wang yang banyak sudah tentu saya akan menyambung pelajaran saya sebaik-baiknya,” tuturnya dalam nada gembira bercampur sedih. - UTUSAN ONLINE