Menteri Dalam Negeri Si­nga­pura, K. Shanmugam berkata, sus­pek merancang untuk menye­rang Marina Bay Sands yang ter­kenal dengan kasino dan roda Ferris gergasi.

“Ini menunjukkan bagaimana musuh sebenarnya memikirkan pelbagai cara untuk menyerang.

“Pengganas boleh memasuki Singapura menerusi pemeriksaan imigresen, malah mereka juga mampu melancarkan sera­ngan dari luar. Itu adalah satu bentuk ancaman baharu berbanding serangan dilancarkan secara solo sebelum ini,” ujarnya menerusi akaun Facebook.

Batam dihubungkan dengan Singapura menerusi rangkaian perkhidmatan feri dengan kawa­san peranginan tepi pantai dan pa­dang golf menjadikan pulau itu sebagai tarikan utama bagi rakyat Singapura pada hujung minggu.

Sementara itu, pihak ke­selamatan Indonesia turut me­ningkatkan kawalan keselamatan di Batam ekoran penahanan enam suspek pengganas yang berpangkalan di pulau perindustrian dan percutian berkenaan.

Akhbar Batam Pos yang dipetik portal Straits Times me­laporkan, pasukan keselamatan Indonesia dilihat berkawal menggunakan senjata di Lapangan Terbang Hang Nadim hari ini.

“Kami memantau sebarang situasi sejak pagi ini,” kata Ketua Jabatan Komersial Lapangan Terbang, Dendi Gustinandar.

Pada masa sama, kompleks polis Batam turut meningkatkan kawalan keselamatan di premis itu dengan meletakkan penghadang pada pintu utama dengan 10 anggota berkawal iaitu dua kali ganda daripada biasa. – REUTERS