Perhim­punan ini ba­kal disertai puluhan ribu penduduk biarpun desakan mereka bertujuan me­nyakinkan Perdana Menteri Britain, Theresa May supaya melaksanakan referendum kedua Brexit dilihat sebagai usaha yang sia-sia.

Penganjurnya, People’s Vote March juga meminta peserta supaya memakaikan kostum menarik pada binatang kesa­yangan mereka seperti anjing dalam usaha untuk menarik perhatian umum.

Mesej utama perhimpunan adalah menarik perhatian kepada referendum pertama Brexit pada 2016 yang dilihat tidak seperti yang dirundingkan pada hari ini.

Para aktivis Brexit menegaskan bahawa mereka pasti tidak akan mengundi menyokong sebelum ini jika melihat kepada apa yang sebenarnya berlaku sekarang.

Salah seorang aktivis tersebut, Gina Miller menerusi akhbar The Independent menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk semua pihak menyatakan apa yang terbuku di hati mereka tentang Brexit, sama ada secara langsung atau sebaliknya.

Petisyen secara dalam talian yang dibuat oleh akhbar itu bagi mendesak supaya undian dibuat terhadap mana-mana perjanjian yang dipersetujui sebelum tarikh akhir Mac, telah mendapat sokongan hampir satu juta kali.

May sebelum ini secara jelas menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat mengadakan referendum kedua Brexit.

“Mereka kini mahukan referendum kedua Brexit dan perkara itu tidak akan terjadi. Rakyat sudah mengundi dan kerajaan akan melaksanakannya,” katanya di Parlimen pada Rabu lalu. – AFP