Ketika ini kumpulan bersenjata Kurdis berdepan kesukaran untuk menentang IS ekoran masalah persenjataan yang mereka hadapi dan menggesa dunia segera mengantar bantuan ketenteraan.

Kumpulan pemerhati hak asasi manusia Syria memberitahu, seorang pengebom berani mati IS meletupkan diri di ibu pejabat kumpulan berkenaan sehingga menyebabkan dua anggota kumpulan bersenjata Kurdis terkorban.

Kata kumpulan itu lagi, 10 warga Kurdis terbunuh dalam satu serang hendap yang dilancarkan oleh IS di kawasan selatan bandar Kobani.

"IS ketika ini sudah menguasai semula hampir 40 peratus bandar berkenaan," jelas kumpulan pemerhati hak asasi manusia Syria.

Pentagon berkata, tanpa kehadiran tentera yang menggempur di bahagian darat, usaha untuk memerangi IS akan menjadi lebih sukar, walaupun Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara bertali arus di Kobani sejak tiga minggu lalu.

Sementara itu Utusan PBB ke Syria, Staffan de Mistura berkata, ketika ini terdapat kira-kira 12,000 orang awam masih berada di dalam atau di luar Kobani yang berdepan kemungkinan akan dibunuh jika IS menawan bandar tersebut.

"Kobani ketika ini sedang dikepung kecuali satu laluan keluar masuk di kawasan sempadan. Saya merayu kepada pihak berkuasa Turki untuk membenarkan kemasukan kelengkapan dari sukarelawan yang dapat membantu mempertahankan bandar itu," jelas de Mistura.

AS kini dilaporkan dalam usaha mendesak Turki untuk menyertai pakatan menyerang IS selepas Ankara bersetuju untuk melatih dan menyediakan kelengkapan senjata kepada kumpulan pemberontak di Syria. - AFP