Beliau berkata, rampasan kuasa secara bersenjata itu juga telah mengukuhkan tekad kerajaan serta rakyat untuk menguatkan nilai kebebasan serta hak asasi dan mempertahan sistem demokrasi di negara ini.

"Usaha kerajaan membersih elemen keganasan dan anggota pengganas dalam struktur serta institusi negara akan mengikis unsur diskriminasi kerana kumpulan pengganas itu hanya mengutamakan puak mereka sahaja.

"Maka, ambil kita menunjukkan isyarat empat jari, ia sebenarnya menjadi simbol kepada kata-kata 'Satu Rakyat, Satu Bendera, Satu Negara, Satu Bangsa," ujar beliau sambil menunjukkan empat jari pada tangan kanannya, yang disambut dengan isyarat yang sama oleh para hadirin.

Erdogan semalam menghadiri satu perhimpunan sempena sambutan ulang tahun pertama cubaan rampas kuasa bersenjata pada malam 15 Julai tahun lalu yang mengorbankan 249 orang dan mencederakan lebih 2,000 yang lain.

Rampasan kuasa yang disokong oleh puak tentera yang memberontak itu dikatakan telah didalangi pertubuhan dikenali sebagai Pertubuhan Pengganas Fethullah (Feto) yang dipimpin oleh Fethullah Gulen, seorang ulama yang melarikan diri ke Amerika Syarikat.

Menurut Erdogan, cubaan rampas kuasa itu telah memusnah dan merosakkan banyak aset negara seperti bangunan kerajaan, hospital dan lapangan terbang, yang semuanya dibina dengan menggunakan duit rakyat.

"Negara-negara luar perlu kecam cubaan rampas kuasa 15 Julai ini kerana ia sebenarnya satu bentuk keganasan."Jikapun mereka tidak menyokong pengganas, mereka dilihat lebih prihatin dan mengambil berat mengenai keadaan mereka yang ditahan kerana disyaki menjadi dalang atau bersubahat dengan keganasan.

"Mereka tidak pula prihatin atau mengambil berat mengenai nasib dan keadaan keluarga mangsa yang terkorban dalam cubaan rampas kuasa tersebut.

Mereka tidak juga bertanya mengenai keadaan mangsa-mangsa yang cedera ekoran keganasan yang berlaku," ucap beliau yang menerima tepukan gemuruh daripada hadirin perhimpunan. - UTUSAN ONLINE