Fenomena cuaca sejuk Siberia yang digelar the beast from the east yang sebelum ini melanda Eropah dan bertembung dengan ribut Emma bertiup dari Atlantik telah menjejaskan lalulintas, penerbangan dibatalkan selain operasi kereta api dihentikan.

Britain terpaksa meminta tentera membantu ratusan pemandu yang terkandas selain mambantu kakitangan Perkhid­matan Kesihatan Kebangsaan (NHS).

Berpuluh-puluh penumpang pula terkandas dalam kereta api malam di selatan England.

“Pasukan tentera membantu perkhidmatan kecemasan dalam memastikan kakitangan NHS dapat bertugas dan berkhidmat kepada masyarakat tempatan,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan.

Di Ireland, sekurang-ku­rang­nya 24,000 buah rumah dan perniagaan di Ireland terputus bekalan elektrik ketika timbunan salji mencatatkan ketebalan 90 sentimeter.

Bursa saham Ireland dan semua sekolah ditutup ketika pengangkutan darat terkandas manakala semua penerbangan dibatalkan ketika amaran cuaca tahap merah kekal dikuatkuasakan di kebanyakan tempat di negara itu.

“Rakyat negara ini perlu berehat hari ini,” kata Timbalan Perdana Menteri Ireland, Simon Coveney.

Coveney berkata, adalah diharapkan Ireland dapat mengharungi cuaca buruk ini tanpa sebarang tragedi.

Rakyat Britain yang dinasihatkan supaya tidak melakukan perjalanan yang tidak perlu, diberikan amaran tentang salji yang bakal turun sehingga 50 sentimeter ketika ribut Emma mengancam menjadikan cuaca semakin memburuk.

Sementara itu, di Boston, AS dijangka dibadai ribut yang kuat hari ini yang bakal membawa ancaman banjir di kawasan pantai Maine hingga Carolina Utara.

Kombinasi hujan lebat dan air pasang besar dan ribut yang berlaku boleh menyebabkan jalan raya di bahagian pantai Boston me­ngalami banjir. – AGENSI