Kesimpulan yang dianggap mengejutkan itu disuarakan mereka selepas mendengar pe­nerangan secara tertutup oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA).

BBC yang memetik Senator Lindsey Graham melaporkan, beliau ‘berkeyakinan tinggi’ Mohammed atau popular dengan panggilan MBS merupakan dalang dalam kes pembunuhan Jamal yang diketahui lantang mengkritik dasar pentadbiran putera tersebut.

Graham yang merupakan anggota Parti Republikan turut menyifatkan Mohammed sebagai seorang yang ‘berbahaya’.

Arab Saudi sehingga kini sudah mendakwa seramai 11 suspek berkaitan kes pembunuhan tersebut dan menegaskan bahawa Mohammed tidak terlibat.

Penerangan secara bertutup itu disampaikan oleh Pengarah CIA, Gina Haspel kepada Jawatankuasa Hubungan Luar Senat di sini semalam.

Selain itu, Graham juga memaklumkan beliau tidak mahu menyokong penglibatan Arab Saudi dalam perang di Yemen atau sebarang urusan penjualan senjata ke negara berkenaan se­lagi Mohammed berkuasa.

Dalam pada itu, Senator Bob Menendez yang merupakan ahli Parti Demokrat turut melontarkan pandangan sama.

Jelasnya, AS perlu ‘menghantar satu mesej tegas mengenai perbuatan (pembunuhan) itu tidak boleh diterima di peringkat dunia’.

Seorang lagi Senator, Bob Corker memberitahu, peluang untuk Mohammed tidak terlibat dalam kes pembunuhan Jamal adalah sebanyak sifar peratus.

Menurut beliau, jika Mohammed dihadapkan ke mahkamah, putera Arab Saudi itu akan disabit kesalahan hanya dalam tempoh 30 minit.

“Presiden Donald Trump sudah diperdaya mengenai insiden tersebut apabila beliau enggan mengkritik Mohammed,” katanya.

Senator Chris Murphy turut mengkritik pentadbiran Trump yang disifatkan ‘terlalu berahsia’ berhubung kes pembunuhan wartawan Washington Post itu.

Katanya, kerajaan negara ini perlu mendedahkan perkara sebenar kepada rakyat sekiranya benar terdapat penglibatan pemimpin Arab Saudi dalam insiden berkenaan.

Sementara itu, barisan Senator bercadang untuk mengundi satu usul bagi menamatkan sokongan ketenteraan AS terhadap pasukan tentera pakatan yang diketuai oleh Arab Saudi di Yemen.