Beliau merujuk usaha itu sejajar dengan komuniti antarabangsa - memerangi keganasan - kononnya pencegahan di pering­kat awal mampu membendung keganasan merebak dan ‘berakar’.

Beberapa pegawai tertinggi Beijing turut mempertahankan perkara itu sambil mendakwa Islam sebagai ‘penyakit ideo­logi’, meletakkan kem-kem tahanan sebagai ‘hospital’ yang diperlukan untuk menyembuhkan penyakit tersebut.

Duta China ke Amerika Syarikat (AS), Cui Tiankai menyatakan, Beijing sedang berusaha menjadikan Uighur sebagai ‘manusia normal’.

Memetik artikel tulisan Penyelidik Islamofobia di Georgetown University, Mobashra Tazamal yang disiarkan di portal berita al-Jazeera, beliau menegaskan Islam telah digambarkan sebagai punca ekstremis­me, tidak hanya di China, sebaliknya Program Membanteras Keganasan Ekstremis (CVE) oleh Barat melihat identiti Islam sebagai berkaitan dengan keganasan.

Program yang bertujuan membanteras ekstremisme itu telah mengakibatkan stigma dan ‘menukar’ masyarakat Islam sebagai jenayah.

Wacana awam mengenai kega­nasan hari ini terdiri daripada penekanan terhadap Islam dan ekspresi identiti orang Islam sebagai penunjuk ekstremisme, radikalisasi dan keganasan.

Bukan hanya di China, malah pandangan itu merangkumi banyak penyelidikan dan dasar akademik Barat.

Terma ‘keganasan’ yang baharu, lapangan itu muncul selepas tragedi 9/11 yang berpendapat Islam adalah punca utama bagi individu yang memilih untuk terlibat dalam keganasan dan di AS, kerangka itu membawa kepada peperangan yang merosakkan negara luar, kawalan komuniti Islam dan pelanggaran hak asasi manusia yang meluas.

Pada 2011, kertas putih kerajaan AS menyamakan tudung itu menjadi ‘keganasan pasif’ dan hujah ‘perkauman budaya’ yang sama ini menguasai lara­ngan hijab dan tudung yang berkembang di seluruh Eropah.

Dasar-dasar tersebut dibina di atas fakta palsu dan tidak berasas yang mengenal pasti tanda-tanda yang dikaitkan dengan identiti Muslim (janggut, menghadiri masjid, memakai tudung) sebagai penunjuk radikal.

China mengguna pakai kerangka tersebut di wilayah Xinjiang dengan dakwaan berbahaya pegawai-pegawai China bahawa Islam adalah ‘penyakit’ juga adalah susulan komen yang dibuat oleh ahli politik Barat yang telah lama menggunakan anti-Islam untuk mempromosikan agenda mereka.

Hari ini di China, umat Islam khususnya di Xinjiang yang menyapa sesama mereka de­ngan perkataan ‘Assalamualaikum’ boleh ditahan dalam kem-kem pendidikan semula berkenaan.