“Jika pihak AS tidak menghi­raukan bantahan China dan ma­­syarakat antarabangsa sebaliknya masih mahu meneruskan tindakan secara unilateral dan mengamalkan perlindungan perdagang­an, negara ini tidak akan gentar.

“Kami tidak mahu terlibat de­ngan perang perdagangan tetapi kami tidak gentar untuk berdepan dengannya,” kata kementerian itu dalam kenyataan disiarkan dalam laman sesawangnya.

Trump sebelum itu telah me­nga­rahkan pegawainya untuk mem­pertimbangkan tarif AS$100 bilion terhadap China, sekali gus meningkatkan ketegangan perdagangan antara dua negara itu.

Menurut portal berita BBC, arahan baharu itu merupakan tambahan kepada tarif sebanyak AS$50 bilion (RM193.5 bilion) dicadang­kan terhadap ratusan barangan import China sebelum ini.

“Selepas mengambil kira tindakan balas tidak adil China, saya telah mengarahkan Perwakilan Perdagangan AS (USTR) untuk mempertimbangkan sama ada AS$100 bilion tarif tambahan boleh dikenakan di bawah seksyen 301.

“Jika ya, badan tersebut mengenal pasti produk yang bakal dikenakan de­ngan tarif tersebut,” kata Trump.

Menurut Trump, beliau turut mengarahkan pegawai pertanian untuk me­laksanakan rancangan bagi melindungi kepentingan pe­tani AS dan keseluruhan sektor itu.

Cadangan itu dibuat selepas China bertindak balas dengan ancaman tarif terhadap 106 produk import utama AS pada Rabu lalu.

Tindakan saling mengancam antara dua negara itu menjadikan pasaran global tidak menentu sejak beberapa minggu kebelakang­an ini.

Minggu lalu Washington te­lah mengeluarkan senarai lebih 1,300 produk China yang akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus selepas mengumumkan akan mengenakan cukai import ke atas barangan aluminium dan keluli termasuk dari China awal tahun ini.

White House berkata, tarif itu adalah tindak balas terhadap amalan harta intelek tidak adil yang memaksa syarikat AS untuk berkongsi teknologi dengan firma China.

China pantas bertindak balas apabila mengumumkan cadangan tarif ke atas 106 produk utama AS, termasuk kacang soya, alat ganti pesawat dan jus oren selain me­nyasarkan sektor penting politik di AS seperti pertanian.

Sementara itu, China telah memulakan aduan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) ke atas tarif AS dan ramai penganalisis meramalkan tindakan itu akan berdepan proses yang panjang.