Di seluruh China, pihak berkuasa cuba membataskan kebebasan beragama ke atas umat Islam sebagai sebahagian daripada usaha membawa kepercayaan penganut selaras dengan ketetapan Parti Komunis.

Menurut penduduk, penunjuk perasaan mula berhimpun sejak Khamis menjelang tarikh merobohkan Masjid Besar Weizhou dengan video dalam media sosial menunjukkan penunjuk perasaan berhimpun di hadapan bangunan itu manakala polis lengkap dengan perisai berdiri berhampiran.

Berdasarkan sebuah video, sambil memegang bendera China, mereka duduk dengan senyap di tangga masjid dan berlegar-legar di kompleks itu sebelum menunaikan solat isyak.

“Kerajaan mendakwa masjid itu merupakan bangunan haram tetapi ia bukan bangunan haram. Masjid itu mempunyai sejarah beratus-ratus tahun,” kata seorang pemilik restoran yang mahu dikenali dengan nama Ma.

Selepas waktu tengah hari semalam, seorang pegawai kerajaan tempatan membacakan sebuah dokumen menyatakan kerajaan akan menangguhkan perobohan masjid berkenaan.

Selepas pengumuman itu, penduduk yang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan duduk itu bersurai.

Orang ramai dipercayai datang sejauh beratus-ratus kilometer dari wilayah Islam lain bagi menunjukkan sokongan dan membawa makanan kepada penduduk Weizhou.

Beratus-ratus anggota kesela­matan pada satu ketika menggunakan bas awam sebagai sekatan untuk menjamin kese­la­matan sekitar kawasan itu dengan tidak membenarkan orang luar masuk.

Internet dan khidmat telefon pintar 4G juga diputuskan di kawasan itu dan hanya boleh diakses pada jarak 14 kilometer dari lokasi kejadian manakala penduduk ma­sih boleh membuat panggilan te­lefon.

Malam tadi, berpuluh-puluh orang dilihat duduk di bangku atau bersandar pada motosikal mereka di satu lagi kawasan perumahan tidak jauh dari masjid sambil menonton filem berhampiran stesen minyak.

Kereta polis juga sekali sekala melalui kawasan itu sambil menghidupkan lampu siren namun kea­daan di situ masih aman.

“Mereka maklumkan kepada kami internet terjejas kerana hujan baru-baru ini namun adakah itu masuk akal.

“Mereka sebenarnya bimbang kami menyebarkan video,” kata seorang pemuda.

Berdasarkan dokumen kerajaan, masjid itu dibangunkan semula dua tahun lalu namun proses lesen tidak diurus dengan baik dan beberapa pegawai menerima amaran serius daripada jawatan­kuasa disiplin tempatan.

Kebimbangan tercetus di Wei­zhou sejak perintah kerajaan ming­gu lalu menggesa perobohan mas­jid atas sebab ia dibina tanpa permit lengkap.

Menurut dokumen itu, jika ba­ngunan tersebut tidak dimusnahkan pada 10 Ogos, kerajaan akan meruntuhkan premis berkenaan.

Penduduk berasa kecewa kerana pegawai kerajaan sehingga kini menyatakan sokongan kepada pembinaannya.

Sementara itu, usaha mendapatkan komen pihak berkuasa tempatan dan persatuan Islam wilayah semalam masih belum mendapat jawapan. – REUTERS