Menurut pendedahan The Guardian yang memetik aktivis Uighur Australia, Nurgul Sawut, daripada 17 individu berkenaan, 15 orang adalah penduduk tetap Australia manakala dua lagi memegang visa suami isteri.

Nurgul berkata, kebanyakan mangsa mempunyai anak atau pasangan warga Australia dipercayai ditahan semasa membuat kunjungan terhadap saudara mereka di China.

Katanya, sukar untuk mengesahkan nasib mereka berikutan kerahsiaan dalam kem berkenaan namun dipercayai seorang berada dalam penjara, tahanan rumah (empat orang) dan 12 orang lagi di pusat tahanan.

“Ahli komuniti kami juga berasa kecewa. Perkataan digunakan Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan (DFAT) begitu teruk.

“Kerajaan Australia secara dasarnya menyatakan mereka tidak boleh melakukan apa-apa ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, aktivis mewakili 3,000 etnik Uighur di Australia menggesa Canberra berusaha memastikan kesemua tahanan berkenaan dibebaskan dan melakukan siasatan.

Mereka pada masa sama mendakwa berlaku gangguan serius pihak berkuasa China di Australia termasuk menakut-nakutkan dan permintaan untuk menghantar data peribadi dengan ancaman balas terhadap keluarga jika mereka ingkar.

Menurut Rashida Abdughupur, dia dihubungi melalui panggilan video Wechat oleh polis China yang menunjukkan ibunya digari di balai polis.

“Mereka akan membawa ibu saya ke dalam kem jika saya tidak memberikan maklumat diri dan keluarga.

“Selepas menunjukkan semua kad memandu, pasport dan lain-lain, polis memberitahu jangan lagi menghubungi ibu saya. Mereka memadam akaun ibu dan saya tidak tahu apa nasibnya kini,” jelasnya. – AGENSI