Ketua delegasi China, Timbalan Ke­tua Turus Tentera Pembebasan Rak­yat China (PLA), Laksamana Sun Jianguo dalam ucapannya pada ­Si­dang Kemuncak Keselamatan Asia Dialog Shangri-la di sini menegaskan, isu tuntutan di Laut China Selatan menjadi panas susulan provokasi beberapa negara yang mementingkan diri.

Jelas beliau, Beijing juga mahukan penyelesaian yang aman berhubung isu berkenaan.

Semalam, Setiausaha Pertahanan AS, Ashton Carter dalam majlis yang sama memberi amaran, Washington dan negara-negara lain akan bertindak ter­hadap China yang telah membina pelbagai kemudahan tentera di pulau-pulau di Laut China Selatan.

Jianguo yang jelas merujuk kepada kenyataan AS berkata, kebebasan melakukan rondaan di Laut China Selatan adalah untuk menunjukkan kekuatan tentera dan negaranya dipaksa untuk menerima dan menghormati keputusan Tribunal Mahkamah Timbang Tara di The Hague.

“China menentang sikap sedemikian malah kami tidak menimbulkan masalah dan kami tidak takut kepada masalah,’’ katanya.

Carter telahpun meninggalkan Singapura ketika Jianguo menyampaikan ucapannya pada sidang tersebut.

Dalam forum terbuka itu, Jianguo turut membalas kenyataan Carter berhubung risiko kewujudan ‘tembok besar pengasingan China’ melalui peluasan ketenteraannya di kawasan perairan yang menjadi pertikaian.

“Kami tidak terasing pada masa lalu. Kami tidak akan terasing pada masa depan. Hakikatnya, saya bimbang segelintir masyarakat dan negara di dunia masih melihat China dengan mentaliti dan prasangka Perang Dingin,” katanya semasa menjawab soalan daripada beberapa delegasi.

Secara jelas merujuk kepada Filipina, Jianguo berkata, China tidak berniat menjadi pembuli dan mendakwa ‘beberapa negara dominan memberi kuasa kepada negara-negara kecil untuk menimbulkan provokasi terhadap negara-negara besar’.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, John Kerry semasa lawatannya ke Mongolia hari ini turut memberi amaran kepada China bahawa tindakan negara itu membina zon pengecaman pertahanan udara di perairan yang menjadi pertikaian merupakan perbuatan provokasi dan tidak stabil. – AFP