Bukan setakat dari segi eko­no­mi dengan menyediakan peluang usaha sama perniagaan tetapi juga ketenteraan.

Hakikat ini jelas apabila China baru-baru ini menghantar pasukan tentera ke pangkalan tentera luar negaranya yang pertama di Djibouti walaupun Beijing secara rasmi menggambarkannya sebagai fasiliti logistik.

Negara komunis itu sebenar­nya telah memulakan pembi­naan pangkalan logistik di Dji­­bouti pada tahun lalu yang di­dakwa untuk menempatkan kapal tentera laut, khususnya untuk menyertai misi pengaman dan kemanusiaan di luar pesisir pantai Ye­men dan Somalia.

Kedudukan Djibouti di hujung barat laut Lautan Hindi telah menyebabkan timbul kebimbangan bahawa ia akan menjadi salah satu jalan ‘rahsia’ bagi aset dan pakatan ketenteraan yang mengelilingi atau mengepung India dan negara-negara Asia termasuk Bangladesh, Myanmar dan Sri Lanka.

Negara kecil yang terletak berhampiran Laut Merah dan Terusan Suez itu, menjadi lokasi strategik untuk mengawasi pergerakan negara-negara kuasa besar dunia, sekali gus memperlihatkan usaha China mengukuh kedudukan di dunia sebelah sini.

Sebelum ini, China telah pun memulakan usaha mengawal perairan strategik di Laut China Selatan.

Tindakan ini diperkukuhkan de­ngan capaian ketenteraan di seluruh laluan perdagangan pen­ting itu apabila ia didakwa telah memulakan kerja pembinaan baharu di kawasan ber­kenaan.

Pakar Laut China Selatan di Akademi Pertahanan Tentera Australia, Carl Thayer menegaskan Kepulauan Paracel diramal lokasi penting untuk sebarang percubaan China menguasai perairan pertikaian tersebut dan negara berkenaan sangat komited dalam usaha ketenteraan walaupun sering mengeluarkan kenya­taan retorik.

Andaian tersebut dikukuhkan lagi dengan laporan Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI) yang menyatakan China menjadi negara dunia kedua mencatat perbelanjaan ketente­raan tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 5.4 peratus kepada $215 bilion di belakang AS.

Tidak menghairankan apabila China juga bertindak melancarkan kapal pengangkut pesawat pertama buatan sendiri jauh lebih maju berbanding dengan yang dimiliki sebelumnya iaitu sebuah pengangkut yang dibeli dari Ukraine sebagai usaha menjaja kehebatan kuasa ketente­raannya di mata negara-negara dunia sebagai saingan kepada kuasa besar lain terutama AS.

Tambahan pula. kapal pe­ngangkut pesawat diketahui men­­jadi aset peperangan terbesar yang memainkan peranan pen­ting melancar dan mendaratkan jet pejuang terutamanya apabila berada jauh di pangkalan darat.

Tindakan China meluaskan pengaruhnya akan menjadi ca­ba­ran kepada Kesatuan Eropah dan juga AS yang kini berdepan dengan masalah untuk mempertahankan wibawanya sebagai sebuah negara kuasa besar dunia.

Kegagalan pentadbiran White House mengekalkan pengaruh dan tindakan Presiden Donald Trump memperkenalkan dasar-dasar yang tidak popular bakal menyaksikan lunturnya kepercayaan dan keyakinan terhadap keupayaan negara ‘Uncle Sam’ untuk menjadi sandaran kepada mereka sekali gus mengukuhkan cengkaman China dalam masa yang mendatang.

Perkara itu bukan sahaja membe­rikan lonjakan penting kepada kemajuan reka bentuk dan pembinaan kapal pengangkut pesawat di China tetapi juga menjadi penanda aras kepada usaha Pre­siden Xi Jinping untuk memperluaskan kuasa ketente­raan di luar kawasan pesisiran negara tersebut.