China Daily melaporkan, kapal yang digelar ‘pembuat pulau ajaib’ itu mampu menghasilkan beberapa buah pulau buatan manusia di kawasan perairan Laut China Selatan dalam masa yang singkat.

Dilancarkan di sebuah pe­la­buhan di timur wilayah Jiangsu semalam, kapal yang diberi nama Tian Kun Hao itu dikatakan mampu mengorek sehingga sedalam 6,000 meter padu pasir dalam masa sejam.

Jumlah itu dikatakan bersama­an dengan saiz tiga kolam renang standard ketika ini.

Difahamkan, kapal tersebut adalah versi lebih besar daripada yang biasa digunakan China untuk mengorek pasir, lumpur dan batu karang di kawasan perairan itu sebelum ini untuk kegunaan tentera mereka.

Apabila sesi ujian kapal itu lengkap sepenuhnya Jun depan, Tian Kun Hao akan dilabel sebagai kapal korek paling berkuasa di Asia, lapor China Daily lagi.

China sebelum ini menuntut hampir semua wilayah termasuk pulau yang berada di sepanjang perairan Laut China Selatan iaitu laluan utama kapal dagang bernilai AS$5 trilion (RM21.16 trilion).

Tindakan itu dilihat menjejaskan hubungan mereka dengan beberapa negara lain termasuk Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei dan Taiwan. – AFP