Menurut portal berita BBC, Trump menerusi laman Twitternya menegaskan, China tidak banyak membantu dalam hal tersebut ekoran ketegangan perdagangan yang dihadapi dengan AS.

Jurucakap Kementerian Luar menegaskan kenyataan Trump itu sebagai dakwaan yang tidak bertanggungjawab dan amat bertentangan dengan fakta sebenar bahawa China sangat prihatin terhadap isu tersebut.

Pada Khamis lalu, Trump secara mengejut membatalkan lawatan yang dirancang oleh Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo ke Korea Utara.

Beliau turut menyalahkan China sebagai salah satu punca tiada kemajuan besar diraih bagi menghentikan program nuklear Pyongyang selepas lawatannya ke negara itu pada Jun lalu.

Selepas sidang kemuncaknya dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, Trump berkata, negara itu bukan lagi ancaman nuklear tetapi terdapat beberapa laporan bahawa Pyongyang gagal untuk memusnahkan kemudahan nuklearnya.

Laporan terbaharu Washington Post memetik pegawai AS yang enggan dikenali memberi amaran Korea Utara kelihatan sedang membina peluru berpandu antara benua yang baharu.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) juga mengesahkan Korea Utara sudah kembali meneruskan program nuklearnya.