Kesemua pelajar berhimpit-himpit tinggal di sebuah kabin seluas 160 meter persegi yang dipanggil “Yuegong-1” atau Is­tana Bulan di kampus Universiti Beihang bagi menguji tahap kemampuan manusia untuk tinggal dalam ruang yang terhad.

Menurut pegawai agensi berita Xinhua, sukarelawan itu tinggal dalam kabin makmal yang tertutup' bagi simulasi misi angkasa lepas jangka panjang tanpa sebarang hubungan dengan dunia luar.

Ketua Pereka Modul makmal itu, Liu Hong berkata, pengalaman sukarelawan itu diuji sehingga kemuncaknya terutamanya dalam tiga keadaan ketika makmal berkenaan terputus bekalan elektrik.

“Pengalaman itu turut menguji sistem dan status psikologi sukarelawan, mereka berjaya melepasinya,” kata Liu.

Kemudahan itu menguruskan najis manusia melalui proses bio penapaian dan sukarelawan mencuba menanam sayuran dengan bantuan produk sampingan makanan dan sisa.

Pada awalnya dua lelaki dan dua wanita memasuki kabin itu bagi tempoh ujian selama 60 hari sebelum digantikan dengan empat sukarelawan lain yang tinggal bagi tempoh 200 hari.

Menurut Xinhua, sukarelawan asal program itu kini kembali bagi meneruskan misi tambahan selama 105 hari.

Istana bulan mempunyai dua modul penanaman pokok dan ruang kabin sebenar berkeluasan 42 meter persegi yang mengandungi empat bilik tidur, bilik umum, bilik mandi, bilik rawatan sisa dan ruang untuk membiakkan haiwan. – AFP