Antara perubahan dan kemajuan yang berlaku adalah penggunaan teknologi canggih se­perti kecerdasan buatan (AI) yang dilihat memainkan peranan besar dalam pelbagai bidang termasuk perubatan.

Di bandar raya Hangzhou China, syarikat gergasi teknologinya iaitu Alibaba Group Holding Li­mited kini dalam percubaan untuk menggunakan teknologi yang dikuasakan AI terhadap sistem kemudahan perubatan di negara ini seperti ambulans.

Sistem tersebut melibatkan proses penghantaran maklumat kepada komputer pusat yang dihubungkan dengan rang­kaian pengangkutan di bandar raya tersebut.

Alibaba Group berharap penggunaan sistem tersebut dapat mengurangkan kelemahan sektor perubatan di China termasuk giliran menunggu pesakit yang panjang dan lama, kekurangan doktor serta kesesakan trafik yang boleh menjejaskan proses perubatan.

Langkah yang diambil oleh Ali­baba itu juga dilihat secara tidak langsung meningkatkan trend di China apabila syarikat teknologi saling berlumba untuk menjadi pelopor teknologi kesihatan negara.

Sebagai contoh, WeDoctor yang menawarkan perkhidmatan konsultasi serta temu janji dengan doktor secara atas talian mencatatkan keuntungan seba­nyak AS$500 juta (RM2.018 bi­lion) pada Mei lalu, sekali gus meletakkan syarikat tersebut pada nilai AS$5.5 bilion (RM22.2 bilion) menjelang akhir tahun ini.

Selain itu, Alibaba juga menjalin kerjasama dengan sebuah hospital di Shanghai dengan menggunakan data untuk mengkaji permintaan para pesakit serta menempatkan doktor mengikut keperluan.

Di wilayah Zhejiang pula, syarikat tersebut menggunakan peralatan berasaskan teknologi AI bagi membantu menganalisis imej perubatan seperti pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan pengimejan resonans magnetik (MRI).

Semakin banyak hospital di China menggunakan teknologi terkini untuk merapatkan jurang antara kawasan bandar dengan luar bandar yang sebelum ini menimbulkan masalah kekura­ngan doktor.

Dengan menggunakan tek­nologi, para doktor dapat me­lakukan proses perubatan secara live streaming dan doktor pakar berpeluang memberi tunjuk ajar kepada pengamal perubatan baharu dengan lebih mudah.

DXY yang merupakan platform perubatan secara dalam talian terbesar di China menawarkan konsultasi menerusi media sosial WeChat untuk golongan pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes.

Platform tersebut ‘dianggotai’ oleh doktor pakar serta jururawat terlatih yang akan memberikan nasihat perubatan kepada pesakit mereka secara dalam talian.

Perubahan polisi perubatan itu turut mendapat sokongan daripada kerajaan China apabila Perdana Menterinya, Li Keqiang menyatakan bahawa teknologi kesihatan dapat mengurangkan kos perubatan umum yang tinggi dan sukar diakses.

Katanya, perkara tersebut sudah lama menjadi kebimbangan kepada penduduk China, malah Beijing juga mendedahkan bahawa pentadbiran bandar raya tersebut berkemungkinan meluluskan penjualan sesetengah ubat secara dalam talian, sekali gus membuka peluang perniagaan yang besar kepada syarikat dari dalam mahupun luar negara.

Namun, di sebalik peningkatan penggunaan teknologi dalam bidang perubatan di China, negara itu masih berdepan dengan kesukaran untuk meyakinkan penduduknya berhubung langkah berkenaan, terutamanya berhubung kos yang dijangka jauh lebih mahal memandangkan perlu menggunakan peralatan perubatan berteknologi tinggi.

Golongan pengamal perubatan juga melahirkan kebimbangan apabila semua aspek perubatan selepas ini akan bergantung sepenuhnya terhadap kemudahan teknologi sehingga boleh ‘melupakan’ peranan sebenar para doktor.

Seorang pakar kardiologi di Hospital Beijing Chaoyang, Dr. Wang Aihu memaklumkan bahawa teknologi AI secara jelas memudahkan kerja doktor, namun ia tidak dapat menggantikan pe­ranan petugas perubatan sebenar.

“Dengan teknologi yang ada kini, semua kerja boleh jadi mudah, namun ia tidak dapat menggantikan doktor yang masih perlu memeriksa, memastikan dan me­ngesahkan keputusan diagnosis sesuatu penyakit,” katanya.

Bagi pesakit kanser, Tony Li, 55, menyatakan bahawa penggunaan teknologi dalam rawatan perubatan dilihat sebagai satu ka­edah terkini, namun ia mempunyai kecenderungan untuk diperbesarkan sehingga boleh mewujudkan harapan palsu kepada pesakit untuk sembuh, selain memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan boleh membebankan golongan kurang bernasib baik.

Sehubungan itu, boleh disimpulkan bahawa China memerlukan satu tempoh yang panjang untuk meyakinkan penduduknya mengenai kemudahan serta keberkesanan penggunaan teknologi dalam bidang perubatan biarpun banyak pihak saling berlumba untuk membangunkan sistem pengurusan perubatan yang canggih.