Beijing menuntut India mengundurkan tentera dari kawasan dataran berdekatan sempadan China, India dan Bhutan yang terletak di kawasan pergunungan Himalaya.

“Sudah lebih sebulan sejak insiden di sempadan, India bukan sahaja memasuki wilayah China secara haram, tetapi turut membaiki jalan, menambah bekalan dan anggota tentera yang lengkap bersenjata.

“Tindakan ini bukan demi keamanan,” kata Kementerian itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Pertikaian kawasan ber­kenaan yang tercetus sejak bulan Jun lalu merupakan paling buruk antara kedua-dua buah negara dalam tempoh lebih 30 tahun.

Menteri Luar India, Sushma Swaraj berkata, kedua-dua pihak perlu berbincang berdasarkan persefahaman yang dicapai pada tahun 2012 melibatkan kawasan sempadan tersebut.

“India sentiasa percaya keamanan di sempadan China-India merupakan elemen penting untuk hubungan kedua-dua negara.

“Kami akan berbincang dengan Beijing menerusi saluran diplomatik untuk mencari jalan penyelesaian,” jelas Swaraj. – REUTERS