Menurut laporan aplikasi po­pular, SoYoung, jumlah itu menunjukkan peningkatan 42 peratus berbanding tahun lalu ekoran peningkatan pendapatan, pengaruh Barat dan keinginan untuk kelihatan cantik dalam media sosial.

Malah ibu bapa di negara ini sanggup mengeluarkan wang bagi membolehkan anak remaja menjalani pembedahan plastik untuk membantu mereka memperoleh pekerjaan.

“Selepas mendirikan rumah tangga, melahirkan seorang anak dan usia telah melepasi 30 tahun, mereka akan menggelar kami wanita pertengahan usia, saya tidak mahu mendapat ge­la­ran itu terlalu awal,” kata Chen Yan yang berusia 35 tahun.

Pemilik kedai dari wilayah Hunan itu sanggup membayar 52,515 yuan (RM33,560) untuk menjalani pembedahan hidung di hospital swasta, Kosmetologi Perubatan Huamei di Shanghai.

Pakar bedah hospital itu, Li Jian berkata, 90 peratus klien­nya adalah golongan wanita yang berusia antara 16 sehingga 70 tahun.

Katanya, kaum wanita berusia bawah 40 tahun mahu kelihatan lebih cantik manakala mereka yang berusia lebih 40 tahun mahu kelihatan muda.

Pembedahan plastik yang men­dapat permintaan tinggi me­libatkan prosedur membuang ‘kegemukan’ pada muka dan badan, mengecilkan hidung agar kelihatan seperti orang Barat.

Musim panas merupakan tempoh paling sibuk di klinik di Shanghai kerana lepasan universiti akan menjalani pembedahan plastik untuk kelihatan menarik bagi memperoleh pekerjaan yang lebih baik terutama dalam industri hiburan.

Jumlah golongan remaja yang menjalani pembedahan plastik juga meningkat walaupun pihak hospital tidak memberi rawatan kepada mereka berusia bawah 16 tahun manakala mereka yang berusia 16 tahun dan 17 tahun perlu mendapatkan kebenaran ibu bapa.

“Kebanyakan warga China per­caya apabila muka atau hidung lebih runcing atau mancung maka mereka kelihatan lebih cantik,” kata Li Jian.

Malah ada yang mahu kelihatan lebih cantik dalam gambar dan tampil seperti orang Eropah.

“Sebagai pakar pembedahan plastik saya tidak fikir penampilan sedemikian cantik, ini bukan gaya orang China. Oleh itu saya menolak pemikiran ini,” kata­nya.

Namun ada pihak yang me­nya­lahkan golongan selebriti tem­patan terutama mereka yang popular menerusi internet dan sering memuat naik video mereka sedang menari dan menyanyi selain megah menceritakan pem­bedahan plastik yang dila­ku­kan. – AFP