BBC melaporkan, Punggye-ri merupakan satu-satu tapak yang diketahui digunakan untuk ke­semua enam ujian nuklear Korea Utara sejak 2006.

Selepas Pyongyang melakukan ujian terakhir pada September lalu, beberapa siri gegaran me­landa tapak berkenaan.

Para saintis dari Universiti Sains dan Teknologi China (USTC) membuat kesimpulan bahawa selepas lapan setengah minit ujian ter­akhir dijalankan, runtuhan berlaku menyebabkan pusat ujian nuklear itu tidak lagi boleh digunakan.

Tapak Punggye-ri terletak di kawasan pergunungan, timur laut Korea Utara dan ujian nuklear dijalankan menerusi sistem terowong yang digali di bawah Gunung Mantap.

Sabtu lalu, Jong-un mengumumkan ujian nuklear dan peluru berpandunya dihentikan serta merta.

Pengumuman mengejut itu dilakukan menjelang rundingan bersejarah antara Korea Utara, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

Kemungkinan berlakunya runtuhan terowong di Gunung Mantap menjadi spekulasi sebelum ini dengan para saintis China melahirkan kebimbangan tentang perkara berkenaan selepas ujian nuklear berskala besar dilakukan oleh Korea Utara pada September lalu.

Sementara itu, Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) mengesan dua gegaran berlaku pada akhir Disember tahun lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan berkaitan kestabilan di sekitar kawasan pergunungan itu.