Terbaharu, satu sistem pengangkutan monorel atau tren tergantung yang dipercayai terpantas di negara ini dibina di Qingdao.

Shanghaiist melaporkan, projek yang dibina hasil inisiatif syarikat gergasi kereta api China, CRRC Qingdao Sifang itu telah menjalani sesi ujian khas pada Khamis lalu.

Menurut jurutera syarikat terbabit, tren tergantung itu secara umumnya lebih murah, mesra alam dan tidak memakan masa yang panjang untuk dibina berbanding tren biasa.

Jurutera itu turut menyifatkan sistem pengangkutan awam tersebut sebagai ‘pilihan yang sempurna’ untuk menikmati pemandangan menarik termasuk di kawasan yang bergunung-ganang di situ.

Dengan ketinggian hanya kira-kira lima meter dari paras tanah, tren itu dikatakan mampu mencapai kelajuan hingga 70 kilometer sejam (km/j) dengan membawa sehingga 510 penumpang dalam lima gerabak.

Kejayaan menghasilkan tren tersebut secara tidak langsung membolehkan China berada pada kedudukan ketiga dalam senarai negara dunia yang menguasai teknologi terbabit selepas Jerman dan Jepun terutamanya selepas penghasilan projek ‘tren pencakar langit’ yang kini beroperasi di Nanjing.

Dalam pada itu, umum menge­tahui bahawa tren yang terdapat di Qingdao itu bukanlah satu-satunya tren tergantung di China ketika ini.

Beberapa bulan lepas, tren tergantung pertama yang menggunakan konsep panda dilaporkan telah mula beroperasi di Chengdu.

Tren itu, bagaimanapun ha­nya mampu bergerak pada kelajuan 60 km/j sahaja.