Insiden itu berlaku selepas kapal tersebut meletup dan terbakar selepas berlanggar dengan sebuah kapal kargo lain beberapa hari lalu.

Pelanggaran berkenaan juga secara tidak langsung mencetuskan kerisauan akan berlakunya pencemaran alam sekitar yang teruk di situ.

Dalam insiden Sabtu lalu, kapal Sanchi yang membawa muatan 136,000 tan minyak mentah dilaporkan meletup dan terbakar selepas bertembung dengan kapal kargo milik Hong Kong yang membawa 64,000 tan bijirin, kira-kira 160 batu nautika di timur Shanghai.

Visual oleh rangkaian te­levisyen kerajaan China, CCTV menunjukkan api marak menyala dengan asap tebal menyelubungi sekitar tempat kejadian.

Insiden yang sama turut menyebabkan 32 kru kapal tangki minyak berkenaan dikhuatiri terbunuh selepas api yang marak itu gagal dipadamkan.

Sementara itu, syarikat alam sekitar antarabangsa, Greenpeace East Asia dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya menjangkakan lebih banyak minyak akan terbakar daripada tumpah ke dalam laut ekoran insiden berkenaan.

“Proses pembersihan sebenarnya akan menjadi lebih sukar sekiranya kapal tersebut tenggelam sebelum terbakar.

“Apa yang penting sekarang adalah untuk memahami bagaimanapun minyak itu boleh terbakar dan jumlah tumpahan (minyak) yang berlaku ketika ini,” katanya.

Semalam, Kementerian Luar China memberitahu, kerja-kerja pembersihan kapal itu mula dijalankan bagi mengelakkan daripada berlaku bencana untuk ‘kali kedua’.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Kementerian Pengangkutan China pula memaklumkan bahawa kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang dilaporkan hilang dan terbunuh itu masih dijalankan ketika ini. – AFP