Portal Mail Online me­laporkan, sidang video itu diadakan antara Presiden Akademi Sains China di Beijing, Chunli Bai dan Presiden Akademi Sains Austria di Vienna, Anton Zeilinger.

“Sistem komunikasi ini sedang dipantau untuk melihat potensi mengaplikasikannya di dunia nyata oleh kerajaan, bank dan syarikat insurans.

“Terdapat rancangan untuk melakukan ujian per­bincangan serupa an­tara individu di China de­ngan mereka di empat lokasi lain di Singapura, Itali, Jerman dan Rusia,” jelas jurucakap Akademi Sains China.

Panggilan video itu diadakan menggunakan rangkaian komunikasi kuantum pertama dunia yang disifatkan pasukan pakar mampu merevolusikan cara manusia berhubung.

Penghantaran mesej kuan­tum memperkenalkan bentuk komunikasi paling selamat yang boleh dicapai kerana tidak dapat digodam.

Kunci kerahsiaan pada sistem kriptografi tradi­sional yang sering dilaksanakan dalam komunikasi internet moden termasuk e-mel dan aplikasi bank kebiasaannya bergantung kepada pengiraan persamaan kompleks fungsi matematik berkomputer.

Sebaliknya, teknologi kriptografi kuantum yang dipanggil Quantum Key Distribution (QKD) menggunakan foton tunggal di negara terlibat untuk menjamin keselamatan tanpa syarat antara dua pihak yang berjauhan.

Menurut Akademi Sains China, sebab-sebab teknikal sebelum ini membataskan perbualan seperti itu kepada jarak beberapa ratus kilo­meter tetapi mereka telah menemukan penyelesaian bernas terhadap masalah tersebut menerusi satelit canggih yang dinamakan Micius.

Awal tahun ini, para sain­tis di China berjaya menghantar foton yang lebih jauh daripada sebelumnya dengan mencapai jarak sejauh 1,400 kilo­meter.