BBC melaporkan, kesemua syarikat tersebut bakal ditutup pada awal bulan Januari ini, termasuk syarikat-syarikat usaha sama negara ini dengan Korea Utara.

China yang merupakan satu-satunya sekutu utama Pyongyang sebelum ini menyekat perdagangan tekstil dan mengehadkan eksport minyak ke negara tersebut.

Keputusan tersebut secara tidak langsung menjejaskan pendapatan mata wang asing di negara itu.

China yang merupakan anggota Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengundi untuk mengenakan sekatan terbaharu terhadap Korea Utara pada 11 September lalu.

Kementerian Perdagangan China menetapkan tempoh selama 120 hari untuk semua syarikat milik negara berkenaan ditutup.

Dalam satu sidang akhbar semalam, jurucakap kementerian, Lu Kang berkata, China menentang sebarang tindakan yang boleh mencetuskan peperangan di Semenanjung Korea.

“Sekatan dan perbincangan adalah keperluan dalam UNSC. Kita tidak seharusnya menumpukan satu perkara sahaja sehingga mengabaikan aspek lain,” katanya.

Beijing sebelum ini sentiasa menyokong Korea Utara namun baru-baru ini lantang mengutuk siri program nuklear yang dijalankan oleh Pyongyang, selain mencetuskan retorik bagi menyelar pemimpin negara itu.

Negara ini turut ditekan oleh Amerika Syarikat (AS) supaya mengambil tindakan ke atas Korea Utara.

Dalam pada itu, Korea Utara dijangka mencatat pe­ningkatan pertumbuhan ekonomi secara perlahan biarpun dikenakan sekatan antarabangsa.

Hasil maklumat pe­risikan Korea Selatan, negara itu merekodkan pembangunan ekonomi yang pantas dalam tempoh 17 tahun pada tahun lalu dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dicatatkan meningkat sebanyak 3.9 peratus.